SYDNEY, 19 Jun — Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Qantas mengalami kerosakan selepas melanggar jambatan udara atau ‘aerobridge’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada petang Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut Brisbane Times, Penerbangan QF186 dari Queenstown, New Zealand melanggar jambatan udara itu kira-kira 6.40 petang waktu tempatan sejurus selepas mendarat.
Foto yang disiarkan akhbar itu menunjukkan cermin hadapan pesawat jenis Boeing 737-800 retak akibat insiden berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan dan semua penumpang turun dari pesawat menggunakan tangga.
Jurucakap Qantas memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Pesawat itu akan diperiksa oleh jurutera di Brisbane dan dibaiki sebelum kembali beroperasi,” katanya.
Ini merupakan insiden kedua melibatkan jambatan udara di Lapangan Terbang Brisbane dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 22 Mei, pesawat Air New Zealand Penerbangan NZ146 mengalami kerosakan pada badan pesawat selepas bersentuhan dengan jambatan udara semasa berundur dari pintu pelepasan, menyebabkan penerbangan ke Auckland dibatalkan.
Tinggalkan Balasan