Malaysia Gesa Tindakan Lebih Kukuh Ke Arah Keamanan Di Myanmar – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan tekad kolektif mereka dalam menangani krisis di Myanmar.

Anwar berkata blok serantau itu mesti bergerak melangkaui sekadar kenyataan semata-mata, dan menyatakan bahawa ia harus bersifat transformatif. 

Beliau berkata konflik sivil di Myanmar terus menjadi satu cabaran paling mendesak dan tidak dapat diselesaikan, yang dihadapi Asia Tenggara. 

“Dalam menghadapi cabaran ini, cara untuk kita terus melangkah ke hadapan adalah dengan merapatkan barisan dan mengambil tindakan berteraskan perpaduan, supaya ia tidak melemahkan ASEAN sebagai sebuah blok. 

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menganggap ia mempunyai tanggungjawab yang mendalam untuk menggerakkan setiap mekanisme ASEAN yang berdaya maju, dan bekerjasama dengan semua rakan kongsi ke arah pengurangan keganasan, dan seterusnya, proses damai yang diterajui oleh Myanmar dan milik Myanmar,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-38 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah.

Anwar seterusnya menyifatkan kejadian gempa bumi di Myanmar baru-baru ini sebagai satu peringatan jelas, bahawa bencana alam tidak menunggu wujudnya kestabilan apabila berlaku.

“Ini bukan hanya satu lagi krisis kemanusiaan, ia adalah ujian moral untuk kita semua di rantau ini,” katanya.

Sementara itu semasa sesi soal jawab di majlis sama, Perdana Menteri berkata adalah memalukan sekiranya ASEAN gagal menganggap krisis Myanmar sebagai tanggungjawab bersama.

“Sudah tentu kita mengalu-alukan bantuan Eropah, Amerika, China atau yang lain, mereka boleh datang dan membantu, tapi ia adalah tanggungjawab ASEAN. Ia adalah tugas segera negara jiran,” katanya.

Anwar berkata krisis di Myanmar turut merebak ke negara lain, merujuk kepada isu lebih 200,000 orang Rohingya tanpa kerakyatan yang dilaporkan melarikan diri ke Malaysia, Thailand dan Bangladesh.

“Jadi kita mesti bersuara dan ambil tindakan. Adakah ia mudah? Sudah tentu tidak, ini adalah konflik yang berakar umbi dalam permusuhan dan kebencian yang berpuluh tahun lamanya, tapi tidak ada penyelesaian yang berdaya maju, kecuali gencatan senjata segera dan tamatkan perpecahan dalam kalangan kita,” katanya.

Anwar berkata situasi di Myanmar adalah antara isu utama yang dibincangkan secara tidak rasmi dengan Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta semasa pertemuan mereka di Putrajaya semalam.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda