Trump Tangguh Tarikh Akhir Jual Atau Larang TikTok Untuk Kali Ketiga

WASHINGTON, 20 Jun — Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi melanjutkan tarikh akhir bagi syarikat induk TikTok yang berpangkalan di China, Bytedance untuk menjual platform video itu kepada pemilik dari Amerika Syarikat atau berdepan larangan operasi di negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Trump pada Khamis menandatangani satu perintah eksekutif yang diumumkan menerusi platform Truth Social miliknya, memberikan lanjutan selama 90 hari lagi.

Dua lanjutan sebelum ini yang diberikan Trump berakhir tanpa penyelesaian seperti yang dijanjikan.

Menurut undang-undang yang ditandatangani ketika era Presiden Joe Biden, TikTok sepatutnya telah dijual atau dihentikan operasinya di AS pada 19 Januari lalu.

Namun, Trump yang mengambil alih jawatan presiden pada Januari lalu telah memberikan lanjutan selama 75 hari, dan ketika itu turut membuka ruang untuk lanjutan tambahan jika perlu — walaupun undang-undang sedia ada tidak memperuntukkan langkah sedemikian.

Awal tahun ini, Trump turut menyatakan kesediaan untuk mengurangkan tarif ke atas China sekiranya kerajaan negara itu meluluskan penjualan TikTok.

“Mungkin saya akan beri sedikit pengurangan tarif atau sesuatu yang dapat menyelesaikan urusan ini,” katanya ketika itu.

Pada 2020, Trump pernah cuba mengharamkan TikTok semasa penggal pertamanya sebagai presiden melalui perintah eksekutif, namun usaha itu digagalkan oleh mahkamah AS.

Bagaimanapun, sejak kempen pilihan raya lalu, Trump dilihat semakin lunak terhadap aplikasi berkenaan.

Algoritma TikTok, yang menentukan kandungan video mana akan dipaparkan kepada pengguna, menjadi isu utama dalam perdebatan. Pengkritik TikTok mendakwa kerajaan China boleh menyalahgunakan algoritma itu untuk mempengaruhi pendapat awam di AS — dakwaan yang dinafikan oleh TikTok dan Bytedance.

Undang-undang AS kini menetapkan bahawa kerajaan China mahupun Bytedance tidak boleh memiliki kawalan terhadap algoritma berkenaan.

Namun di bawah undang-undang China, sebarang penjualan perisian algoritma ke luar negara memerlukan kelulusan daripada kerajaan Beijing.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda