AKPS Siasat Dakwaan Wujud Sindiket ‘Phantom Travel’ Di KLIA

PUTRAJAYA, 24 Jun — Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat sindiket ‘phantom travel’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu meneliti penglibatan pegawai yang bersekongkol dengan sindiket yang menggunakan modus operandi tidak merekod pergerakan keluar masuk pelawat di pintu masuk negara serta mengenakan kadar bayaran tertentu bagi membolehkan pengembara, khususnya penjawat awam mengelak pergerakan mereka dikesan majikan.

“AKPS tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan. 

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan agensi itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menambah baik proses pemeriksaan pelawat di pintu masuk negara terutama di KLIA, termasuk penggunaan sistem pagar automatik sepenuhnya. 

“Dengan adanya penggunaan sistem pagar automatik sepenuhnya bagi pelepasan keluar, pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan, AKPS percaya isu ‘mengatur kaunter’, ‘pasport terbang’ dan ‘phantom travel’ yang melibatkan pegawai dapat dikurangkan serta dihapuskan,” menurut agensi itu.

Baru-baru ini, sebuah portal media tempatan mendedahkan kewujudan sindiket berkenaan di KLIA yang didakwa melibatkan kakitangan kerajaan yang terbang ke luar negara tetapi butiran perjalanan mereka ditunjukkan dalam rekod imigresen.

Menurut laporan portal itu, modus operandi sindiket berkenaan melibatkan pengembara melalui proses imigresen di kaunter khas, yang dijaga oleh pegawai yang bersekongkol.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda