Wanita Malaysia Ditahan Bawa Lebih 2kg Dadah Di Pusat Pemeriksaan Woodlands

SINGAPURA, 25 Jun — Seorang wanita Malaysia berusia 46 tahun ditahan pada Isnin (23 Jun) kerana disyaki cuba menyeludup lebih dua kilogram (kg) dadah, termasuk ganja dan “ice”, bernilai lebih S$142,000 (S$1=RM3.30), ke Singapura.

Dalam kenyataan bersama, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata pegawai ICA mengesan dua bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah terkawal disembunyikan di bawah penutup bahagian hadapan motosikal yang ditunggang wanita itu semasa pemeriksaan dipertingkatkan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“CNB segera dimaklumkan dan pemeriksaan lanjut menemukan keseluruhan tujuh bungkusan dari lokasi yang sama,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Pihak berkuasa berkata bungkusan itu kemudian didapati mengandungi 1,057 gram (g) ganja dan 973g “ice”.

Dadah yang dirampas itu berpotensi menjadi bekalan kira-kira 700 penagih selama seminggu. Siasatan masih dijalankan.

Mereka yang mengimport atau mengeksport lebih 250g methamphetamine atau 500g ganja ke atau dari Singapura boleh berdepan hukuman mati mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda