Nga Sambut Baik Jaminan Program Matrikulasi Untuk Pelajar 10A SPM

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Nga Kor Ming menyambut baik keputusan Kabinet menjamin semua pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mendapat tempat bagi Program Matrikulasi, seperti diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam.

Beliau berkata keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap meritokrasi, kesaksamaan peluang, penghargaan kepada bakat tempatan serta pemerkasaan golongan belia Malaysia dalam mendapatkan pendidikan berkualiti.

“Dasar inklusif ini yang terpakai tanpa mengira kaum atau latar belakang mengiktiraf usaha cemerlang pelajar terbaik kita.

“Kerajaan sedang menyampaikan mesej yang jelas bahawa kecemerlangan akademik akan diberi ganjaran secara adil dan konsisten, dan setiap rakyat Malaysia dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keputusan itu selaras dengan komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas selain mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. 

Nga berkata dasar baharu itu memberi jaminan bahawa tiada pelajar cemerlang yang dipinggirkan, di samping mengekalkan sistem kuota bumiputera bagi program matrikulasi selaras dengan pendekatan yang seimbang dan inklusif. 

“DAP kekal komited untuk menggalakkan dasar yang meraikan pencapaian akademik dan dalam masa sama memperkasakan keadilan sosial. Kami percaya pendidikan adalah pemangkin utama kepada pembangunan negara yang berilmu, progresif dan adil,” katanya. 

Semalam, KPM dalam kenyataan memaklumkan semua pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dan ke atas dalam SPM tahun lepas dan memohon Program Matrikulasi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang. 

Menurut KPM, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda