Tinggal Lebih Masa Lelaki Korea Dipenjara Tiga Bulan

GEORGE TOWN, 11 Julai — Seorang lelaki warganegara Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan.

Jeon Eunjin, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dan hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh tangkap pada 30 Jun lepas.

Dia yang bekerja sebagai pekerja pembinaan di Korea Selatan itu masih tinggal di Malaysia tanpa sebab munasabah setelah tempoh sah pas lawatan sosial selama 90 hari tamat pada 10 Feb 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 12.30 tengah hari, 30 Jun.  

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Adilla Zaharuddin memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh telah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata, serta pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah. 

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saari pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal. 

Sementara itu, di kamar mahkamah yang sama, tertuduh didenda RM2,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12.45 tengah hari, 28 Jun lepas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Timur Laut.

Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya. 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda