inggitKUALA LUMPUR, 12 Julai — Ringgit dijangkakan menyaksikan pergerakan dalam julat lebih rendah 4.24 hingga 4.26 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, selain daripada tarif Amerika Syarikat (AS), persoalan utama selepas ini adalah sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadar faedah.
Atas alasan itu, beliau berkata data penting yang menjadi tumpuan adalah pengumuman Indeks Harga Pengguna AS bagi Jun.
Setakat ini, katanya, kadar inflasi dilihat sebagai agak terkawal ketika tempoh penangguhan tarif AS itu selama 90 hari.
“Sudah pasti, pelaksanakan penuh tarif timbal balas AS pada 1 Ogos ini akan menyaksikan peningkatan inflasi yang boleh menyebabkan langkah memastikan kestabilan Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS dilihat sebagai satu keputusan dasar yang ideal.
“Indeks dolar AS (DXY) semakin meningkat dan berikutan itu mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia dijangka dalam zon kurang memberangsangkan,” katanya.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes turut berkongsi sentimen sama dengan menjangkakan pergerakan ringgit dalam julat lebih kecil menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengeluar AS minggu depan.
Maklumat itu, katanya, berkemungkinan besar akan mempengaruhi hala tuju pasaran serta unjuran terhadap dasar Fed seterusnya.
Laporan inflasi AS yang dijadual diumumkan pada Selasa, akan turut diikuti rapat oleh pasaran kewangan kerana dapat memberi petunjuk lebih jelas mengenai kadar faedah negara itu.
Tumpuan itu, kata Innes, adalah terutamanya bagi angka teras Indeks Harga Pengguna bulan ke bulan dengan 0.3 peratus dilihat sebagai nilai ambang penting.
“Sebarang angka yang lebih perlahan daripada jangkaan boleh memberi harapan kemungkinan Fed nenurunkan kadar faedah pada September. Ini berpotensi menjejaskan tarikan dolar AS dan sebaliknya memberi sokongan ke atas ringgit,” katanya.
Innes bagaimanapun mengingatkan angka yang lebih kukuh, terutama 0.4 peratus dan ke atas, berpotensi mengalihkan jangkaan pasaran terhadap pendirian Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah dan hanya meningkatkan pengukuhan dolar AS.
“Dalam senario itu, dolar AS-ringgit berkemungkinan mengukuh ke arah 4.2700 walaupun sebarang kenaikan awal hanya bersifat sementara jika disusuli dengan aktiviti pengambilan untung,” katanya.
Beliau mengunjurkan ringgit diniagakan dalam julat taktikal 4.2400 hingga 4.2650 dengan kedudukan pasaran dijangka terus menguncup.
Pada masa ini, katanya prestasi ringgit banyak dipengaruhi oleh perkembangan berkaitan makro AS.
Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada paras 4.2475/2525 daripada 4.2180/2260, sebelumnya.
Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.8893/8929 daripada 2.9225/9282 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7524/7592 daripada 5.7601/7710, Jumaat lepas.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.9679/9737 daripada 4.9675/9770 pada akhir minggu lepas.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan rendah, termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3186/3228 daripada 3.3114/3182 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 261.8/262.3 daripada 260.6/261.2, sebelumnya.
Selain itu, ringgit juga rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0668/0886 daripada 13.0302/0609 dan susut berbanding peso Filipina pada 7.52/7.53 daripada 7.47/7.49, Jumaat lepas.
Tinggalkan Balasan