Sabah Dijangka Keluarkan Hasil Marin RM3.25 Bilion Setahun Menerusi Ekonomi Biru

KOTA KINABALU, 20 Julai — Sebanyak 491,000 tan hasil marin bernilai RM3.25 bilion setahun, seperti ikan dan udang, dapat dikeluarkan oleh negeri ini menerusi Ekonomi Biru Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pengeluaran hasil laut merupakan antara 14 komponen Ekonomi Biru yang boleh diterokai termasuk tenaga lautan boleh baharu, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lain.

“Ada banyak lagi dalam Ekonomi Biru selain pengeluaran daripada laut dalam,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah International Business Review (IBR) ASEAN di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Hadir sama ialah Pengasas, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IBR Asia Group, Datuk Beatrice Nirmala.

Hajiji berkata satu daripada aspek paling menarik dalam tenaga lautan ialah Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC), yang memanfaatkan tenaga daripada laut.

“Loji jana kuasa OTEC kini sedang dirancang merentas 500 kilometer kawasan pesisir pantai, dan akhirnya, mampu menjana 20,000MW tenaga hijau, skala yang belum pernah dicatatkan sebelum ini di peringkat global.

“Ini bukan sahaja satu pencetus perubahan untuk negara, malah juga bagi seluruh rantau ini,” katanya.

Beliau berkata Taman Perindustrian Ekonomi Biru telah diwujudkan di Kudat sebagai sebahagian daripada tiga taman perindustrian baharu yang diluluskan oleh kerajaan negeri, selain Kota Belud dan Beaufort, yang semuanya terletak strategik untuk menggalakkan peluang pelaburan.

Sabah telah mencatatkan RM17.41 bilion daripada 73 syarikat dari segi pelaburan asing dan domestik yang diluluskan dalam sektor pembuatan sejak September 2020, dengan 52 syarikat sudah membuka perniagaan dengan jumlah pelaburan RM7.8 bilion, mewujudkan 3,636 pekerjaan, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2022 hingga 2024, Sabah menerima cadangan pelaburan baharu dengan nilai tambahan RM42.3 bilion, yang akan mewujudkan 32,996 pekerjaan.

Hajiji berkata Sabah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial dengan Petronas, membolehkan negeri untuk terlibat lebih banyak dalam industri minyak dan gas.

Ini termasuk pemilikan 50 peratus ekuiti dalam medan minyak dan gas Samarang, 25 peratus bagi Samur, dan 25 peratus dalam pelaburan gas asli cecair terapung (ZLNG) bernilai US$3.1 bilion (US$1=RM4.24) di Sipitang, katanya.

Beliau berkata bagi menyokong pelaburan yang sedang berkembang, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, bertujuan menjana 700MW dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Hajiji berkata kerajaan juga memperuntukkan RM679.85 juta pada 2024 untuk menangani masalah kekurangan air dengan segera, dengan perancangan jangka masa panjang turut merangkumi penyiapan projek hidroelektrik Ulu Padas.

Dalam pada itu, sembilan pihak diumumkan sebagai penerima anugerah bagi kecemerlangan korporat pada majlis itu, iaitu Institut Jantung Negara bagi sektor penjagaan kesihatan; Clean Kinetics Pte Ltd dalam sektor tenaga boleh baharu dan Millenium Minerals Ltd bagi industri perlombongan.

Sabah Port Sdn Bhd turut menerima anugerah yang sama bagi sektor logistik; AiRTS Pte Ltd bagi teknologi inovatif dalam sektor kecerdasan buatan; Alpine Integrated Solution Sdn Bhd dalam sektor pengurusan acara; dan Education Malaysia Global Services pula dalam sektor pendidikan.

Negeri Sembilan diiktiraf sebagai Negeri Paling Progresif di Malaysia pada 2024, manakala Sabah sebagai Negeri Paling Cemerlang di Malaysia 2024.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda