Tempat Pemprosesan Petrokimia Terbesar Di Johor Digempur, 225 Pendatang Tanpa Izin Ditahan

JOHOR BAHRU, 24 Julai — Sebanyak 225 pendatang tanpa izin ditahan menerusi Ops Mahir yang dijalankan di sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia terbesar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dijalankan hasil risikan setelah menerima maklumat awam mengenai kewujudan lambakan warga asing bekerja tanpa permit atau pas yang sah di lokasi terbabit.

Beliau berkata sejumlah 664 warga tempatan serta asing telah diperiksa, manakala tangkapan melibatkan warga China, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Nepal.

“Tangkapan melibatkan 129 lelaki dan empat wanita warga China, 84 lelaki Bangladesh serta masing dua lelaki warga Indonesia, pakistan dan Nepal berusia lingkungan 21 hingga 63 tahun.

“Turut ditahan lelaki dan wanita warga tempatan yang juga pengurus serta pegawai sumber manusia di tapak projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan.

Selain itu, Mohd Rusdi berkata siasatan turut dilakukan mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 membabitkan kesalahan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Dua warga tempatan yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing,” katanya, selain menambah enam notis untuk hadir di Pejabat Bahagian Penguat kuasa dikeluarkan kepada individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.