PM Australia: Penafian Israel Terhadap Kebuluran Di Gaza “Tidak Dapat Diterima Akal”

CANBERRA, 29 Julai — Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan penafian Israel terhadap kebuluran di Gaza sebagai “tidak dapat diterima akal”, lapor Xinhua.

Bercakap pada mesyuarat Parti Buruh pimpinannya di Canberra pada Selasa, Albanese mengkritik dakwaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Israel di Australia Amir Meron bahawa tiada kebuluran di Gaza.

Beliau berkata walaupun terdapat peringatan terhadap maklumat yang disalurkan oleh Hamas, Israel sendiri yang menghalang kemasukan wartawan ke wilayah itu.

“Dakwaan bahawa tiada kebuluran di Gaza adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal,” katanya.

Dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin, Netanyahu berkata tiada kebuluran mahupun dasar kebuluran dilaksanakan di Gaza.

Meron pula dilaporkan memberitahu wartawan daripada beberapa agensi media Australia semasa taklimat di Canberra pada Isnin bahawa Israel tidak mengiktiraf sebarang kebuluran atau krisis makanan di Semenanjung Gaza dan mendakwa laporan berkenaan sebagai sebahagian daripada “kempen palsu” yang didalangi Hamas.

Kenyataan itu dibuat selepas Albanese dalam wawancara bersama Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Ahad menyatakan bahawa Israel “jelas” melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan ke Gaza.

Beliau turut berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa penafian bantuan dan pembunuhan orang awam “tidak boleh dipertahankan atau diabaikan”.

Ketika ditanya pada mesyuarat Selasa mengenai bila Australia akan mengiktiraf negara Palestin, Albanese menjelaskan bahawa kerajaan pimpinannya menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu, termasuk reformasi demokrasi.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda