BERLIN, 13 Ogos — Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky akan tiba di Berlin pada Rabu bagi menghadiri sidang video bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Eropah, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sumber Jerman.
Penyiar awam Jerman ARD melaporkan dengan memetik pegawai kerajaan, bahawa Zelensky akan bertemu Canselor Jerman Friedrich Merz sebelum bersama beliau di Pejabat Canselor Persekutuan untuk menyertai sidang video dengan Trump.
Mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 3 petang waktu tempatan (1 tengah hari GMT) itu bertujuan mewujudkan pendirian bersama dalam kalangan sekutu Barat menjelang sidang kemuncak Trump dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska pada Jumaat.
Pegawai Eropah dan Ukraine dijangka mendapatkan jaminan kukuh daripada Trump bahawa tiada perjanjian berkaitan perang Ukraine akan dimeterai semasa sidang kemuncak itu tanpa persetujuan jelas Kyiv.
Pada 8 Ogos, Trump mengumumkan bahawa beliau menjangkakan untuk bertemu Putin di Alaska pada 15 Ogos, menurut laporan media antarabangsa.
Pertemuan seterusnya antara Putin dan Trump dijangka diadakan di Rusia, menurut pembantu Kremlin Yury Ushakov.
Tinggalkan Balasan