Kumpulan Pertama Sukarelawan Misi Kemanusiaan GSF Berlepas Ke Sepanyol

SEPANG, 27 Ogos — Kumpulan pertama sukarelawan Sumud Nusantara yang menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berlepas ke Barcelona, Sepanyol petang ini, menandakan bermulanya misi untuk memecahkan sekatan Israel yang menyebabkan keseluruhan penduduk Palestin di Gaza berada di ambang kebuluran.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata kumpulan pertama itu disertai 15 sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk selebriti popular tanah air Ardell Aryana dan Zizi Kirana.

“Saya juga ambil peluang ini untuk memaklumkan bahawa misi ini membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan. Namun, paling penting adalah menggabungkan hati seluruh dunia bersama kita untuk hentikan perang Gaza.

“Ini juga rentetan usaha yang dilaksanakan oleh MAPIM bersama dengan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dalam Konvoi Sumud Nusantara sempena Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media majlis pelepasan kumpulan misi itu di sini hari ini.

Ahmad Sani Araby berkata perjuangan itu tidak terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya akan diteruskan dengan kumpulan kedua dan ketiga yang dijangka berlepas menyertai misi sama hujung bulan ini.

Beliau berkata GSF melibatkan penyertaan 50 negara yang memilih laut sebagai laluan kemanusiaan ke Gaza. 

“Pemilihan laluan laut dibuat kerana sekatan Israel dilaksanakan secara menyeluruh melalui darat, laut dan udara, menjadikan bantuan kemanusiaan terhenti dan kebuluran memuncak dan diisytiharkan ‘femine’ oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.

Ahmad Sani Araby berkata kumpulan pertama itu akan memulakan pelayaran dari Pelabuhan Sepanyol pada 31 Ogos ini dan dijangka tiba di perairan Gaza dalam masa 17 hari.

“Kami harap doa daripada rakyat Malaysia, teruskan beri sokongan dan kekuatan agar kita sama-sama jayakan misi ini,” katanya.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif CGM Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman telah berlepas lebih awal ke Barcelona bagi menyelaraskan persiapan bersama jawatankuasa induk antarabangsa sebelum ketibaan kumpulan pertama itu.

“Sebarang perkembangan mengenai misi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira aspek keselamatan sukarelawan kita,” katanya.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan satu flotila awam berskala besar dijangka belayar ke Semenanjung Gaza hujung bulan ini, dengan kumpulan pertama dijadualkan berlepas dari pelabuhan di Sepanyol pada 31 Ogos, diikuti oleh kumpulan kedua dari pelabuhan Tunisia pada 4 Sept.