KUALA LUMPUR, 11 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kewangan Islam perlu terus memainkan peranan utama dalam memacu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selain membentuk generasi pemimpin masa depan yang beretika.
Beliau berkata kejayaan kewangan Islam tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz asetnya tetapi dengan kemampuannya untuk mengubah kehidupan dan menjamin masa depan.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh peranan kewangan Islam dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan dan kita akan membentuk generasi pemimpin masa depan yang beretika.
“Generasi beretika, bermakna generasi yang pemimpin percaya terhadap nilai, prinsip-prinsip etika yang akan membawa misi masa depan,” kata beliau dalam ucapan pada Global Islamic Finance (GIFA) Laureate hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 sebagai mengiktiraf peranan penting beliau dalam memacu kewangan Islam.
Anugerah GIFA merupakan lambang kecemerlangan berprestij yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu selepas mencatatkan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing serta menyumbang kepada kemampanan perbankan dan kewangan Islam sebagai sistem yang berdaya maju dalam struktur kewangan global.
Diwujudkan pada 2011 oleh Edbiz Corporation sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap perbankan dan kewangan Islam, GIFA meraikan pencapaian individu, institusi dan kerajaan dalam menggalakkan dan memacu perbankan dan kewangan Islam serta memastikan ia terus komited terhadap tanggungjawab sosial.
Anwar turut menegaskan bahawa prinsip Maqasid Shariah, yang memberi tumpuan kepada keadilan, perkongsian risiko dan mengurangkan eksploitasi, perlu kekal sebagai asas kewangan Islam, memberikan panduan yang bersifat berterusan.
Selain kemajuan memberangsangkan, Anwar berkata ramai pemain seperti ahli perbankan, bank pusat dan penggubal dasar, kini menunjukkan keyakinan yang lebih baik dalam memacu kewangan Islam dalam kerangka ekonomi yang lebih luas.
Perdana Menteri berkata momentum sedemikian, jika berterusan akan membolehkan kewangan Islam menangani cabaran utama termasuk ketidaksamaan, kemiskinan dan marginalisasi yang masih ketara di dunia Islam berbanding rantau lain.
Beliau turut menekankan keperluan mengembangkan kewangan Islam melalui infrastruktur mampan, platform digital dan instrumen kewangan sosial seperti zakat dan wakaf serta produk inovatif seperti sukuk hijau yang dapat menyokong keterangkuman global dan pertumbuhan mampan.
Tinggalkan Balasan