MCMC Lancar Pelan Hala Tuju Strategik, Jalin Kerjasama Serantau Tingkat Standard AI

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Strategic Communications and Multimedia Technology Roadmap 2025–2030 (MyTMAP2030), yang akan menjadi pelan hala tuju negara untuk mempercepat pembangunan sektor komunikasi dan multimedia dalam tempoh lima tahun akan datang.

MCMC memaklumkan pelan itu yang dilancarkan pada ITU–MCMC Bridging the Standardisation Gap (BSG) Workshop on AI (Artificial Intelligence) Standards and Governance yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini, direka untuk memanfaatkan teknologi baharu, memacu inovasi dan mempercepat penggunaan digital di seluruh negara.

“Standard dan tadbir urus AI (kecerdasan buatan) ialah asas kepada kepercayaan, kerjasama dan keterangkuman masa depan digital kita. Melalui bengkel ini dan pelancaran MyTMAP2030, Malaysia menegaskan komitmen untuk membangunkan AI yang bertanggungjawab, beretika dan memberikan impak kepada rantau ini dan seterusnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

MCMC memaklumkan ITU–MCMC BSG Workshop yang diadakan dari Selasa lepas hingga hari ini, menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pemimpin industri dan pakar dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk meningkatkan kerjasama dalam piawaian AI, tadbir urus dan transformasi digital.

“Bengkel itu bermula dengan sesi panel peringkat tinggi mengenai Standard dan Tadbir Urus AI, menampilkan ITU (Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa), Jabatan Standard Malaysia dan pakar industri, menawarkan pandangan tentang landskap AI yang semakin berkembang, rangka kerja tadbir urus dan amalan terbaik.

“Peserta mendapat manfaat daripada sesi pembangunan kapasiti mengenai aktiviti AI oleh ITU, penyeragaman dan program BSG, serta Innovation Café dan kajian kes yang meneroka aplikasi AI bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Pengarah Biro Penyeragaman Telekomunikasi ITU Seizo Onoe menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen memajukan pembangunan digital pada peringkat nasional dan Asia Pasifik.

Turut senada, Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU Dr Cosmas Luckyson Zavazava yang berkata kerjasama ini membuktikan komitmen ITU dalam memajukan kapasiti AI, merapatkan jurang piawaian, dan menggalakkan ekosistem digital yang inklusif di Asia Pasifik.

“Kami berterima kasih kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun atas sokongan serta komitmen daripada rakan serantau kami termasuk MCMC.

“Bengkel ini akan membantu memastikan manfaat AI dikongsi secara meluas, membantu mengukuhkan sektor telekomunikasi dan ICT di seluruh Asia Pasifik,” katanya.

Menurut MCMC, kerjasama itu disokong sebagai satu inisiatif untuk membina pembangunan berterusan dalam bidang AI dan seterusnya.