China dan ASEAN merupakan rakan dagang terbesar antara satu sama lain selama lima tahun berturut-turut.
Selain itu, ASEAN mempertahankan kedudukan sebagai rakan dagang hasil pertanian terbesar bagi China selama lapan tahun berturut-turut.
Menurut data terkini yang diumumkan Jabatan Am Kastam China (GAC) pada Selasa, jumlah dagangan antara China dan ASEAN meningkat daripada RMB870 bilion (RM512 bilion)semasa Ekspo China-ASEAN pertama pada tahun 2004 kepada hampir RMB7 trilion (RM4.1 trilion) pada tahun 2024. Angka ini meningkat tujuh kali ganda sepanjang 21 tahun lalu.
Dalam pada itu, kerjasama pertanian yang semakin diperkasakan antara China dan ASEAN banyak menyumbang kepada perdagangan hasil pertanian yang saling melengkapi antara kedua-dua pihak.
Dalam lapan bulan pertama 2025, jumlah import dan eksport hasil pertanian China ke ASEAN merekodkan RMB290.6 bilion (RM171.2 bilion), menokok 9.7 peratus.
Angka tersebut mewakili 20.1 peratus daripada jumlah import dan eksport hasil pertanian di China.
Jurucakap GAC, Lyu Daliang berkata seiring dengan selesainya rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0, kedua-dua pihak akan terus memperluas bidang kerjasama di samping mengintensifkan penyelarasan rantaian bekalan dan pengeluaran serantau.
Tinggalkan Balasan