KUALA LUMPUR, 18 Sept — Malaysia menekankan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di samping mengundang pelancong India sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) pada majlis resepsi bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 yang dianjurkan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India.
Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Saravana Kumar Kumaravasagam dalam ucapannya menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mengukuhkan komitmen negara untuk memajukan keamanan, kemakmuran dan kesatuan serantau.
Beliau turut menonjolkan inisiatif TMM2026 dengan menjemput rakyat India, khususnya dari Tamil Nadu dan India Selatan untuk mengenali warisan budaya, keindahan alam serta pelbagai tarikan pelancongan di Malaysia, menurut kenyataan Pejabat Konsulat Jeneral pada Khamis.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Susu dan Tenusu Kerajaan Tamil Nadu, Thiru T. Mano Thangaraj.
Dalam ucapannya, Thiru memuji persahabatan lama antara Malaysia dan India, khususnya dengan Tamil Nadu, serta yakin hubungan erat itu akan terus diperkukuh pada masa hadapan.
Program malam itu diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan India, ucapan oleh Konsul Jeneral dan Menteri Kerajaan Negeri Tamil Nadu, persembahan video khas mengenai tarikan pelancongan di Malaysia, upacara memotong kek dan resepsi makan malam yang mempamerkan juadah masakan Malaysia.
Konsulat Jeneral berkata sambutan itu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan interaksi rakyat dengan rakyat.
Sambutan tahunan ini juga mempunyai makna yang mendalam bagi memperingati kemerdekaan Malaysia pada 1957 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Beliau turut menegaskan pihaknya kekal komited memperkukuh kerjasama budaya, ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan India.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 250 tetamu kehormat, termasuk anggota kor diplomatik, pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan, wakil media serta diaspora Malaysia di India.
Tinggalkan Balasan