KUALA LUMPUR, 19 Sept — Malaysia tegas dalam mempertahankan standard halalnya semasa rundingan berkaitan tarif dengan Amerika Syarikat, dengan menyifatkan proses itu sebagai kompleks dan mencabar, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan adalah pensijilan halal Malaysia yang dianggap oleh Washington sebagai halangan bukan tarif.
“Bagaimanapun, Kabinet telah memutuskan bahawa standard halal kita adalah ‘perkara penting’ yang perlu dipertahankan — dan kita memang mempertahankannya, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengetuai rundingan itu.
“Walaupun kita bersetuju untuk memudahkan proses import bagi sesetengah produk yang diperakui halal ke Malaysia, kita tetap berpendirian tegas untuk mengekalkan standard halal kita yang bertaraf dunia dan terkemuka di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan di Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) 2025 yang diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 di sini hari ini.
Industri halal bukanlah isu yang semata-mata bersifat nasional atau dua hala, katanya sambil memaklumkan Islam adalah agama global yang mempunyai dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
“Dengan pasaran halal global bernilai US$3.5 trilion dan diunjurkan mencecah US$5.0 trilion menjelang 2030, kerjasama pelbagai hala dalam industri halal perlu menjadi sesuatu yang penting bagi kami,” katanya.
Menurutnya, di luar aspek perdagangan, pendekatan sesebuah negara membangunkan masyarakat dan ekonominya akan mempengaruhi dunia dan menentukan masa depan bersama.
“Memperkukuh dunia Islam dari segi ekonomi, kemampanan dan keterangkuman juga akan memantapkan kedudukan kita, terutama ketika kita perlu menyuarakan pandangan di peringkat global.
“Industri halal tidak lagi terhad kepada umat Islam berikutan barangan dan perkhidmatan halal yang semakin mendapat permintaan daripada masyarakat pelbagai agama dan budaya,” katanya.
Tengku Zafrul berkata dalam keadaan peningkatan perlindungan perdagangan dan konflik bersenjata, industri halal boleh bertindak luar daripada kebiasaaan dengan meningkatkan kerjasama pelbagai hala.
“Sebagai umat Islam, kita mampu — dan penting untuk kita menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa terdapat pendekatan yang lebih baik berbanding yang sedang kita lalui.
“Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk berperanan sebagai pemangkin dalam usaha menyusun semula sistem perdagangan global melalui ekonomi halal.
“Malaysia boleh melaksanakannya, bukan sahaja sebagai pembekal, malah sebagai penentu standard, pembina sistem dan penghubung kepada perdagangan beretika,” katanya.
Tinggalkan Balasan