Iran Akan Gantung Kerjasama Dengan IAEA Susulan PBB Gagal Lulus Pelepasan Sekatan

ISTANBUL, 21 Sept — Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pada Sabtu mengumumkan bahawa negara itu akan menggantung kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) selepas Majlis Keselamatan PBB mengundi menolak untuk meluluskan pelepasan sekatan secara kekal terhadap Tehran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Press TV milik kerajaan, badan keselamatan tertinggi Iran mengecam apa yang disifatkan sebagai langkah “tidak bijak” oleh Britain, Perancis dan Jerman, atau dikenali sebagai E3, berhubung program nuklear Iran. 

Pada Jumaat, Majlis Keselamatan PBB gagal menerima pakai draf resolusi yang bertujuan menghalang pengaktifan semula sekatan terhadap Iran yang sebelum ini digugurkan di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) 2015.