KUALA LUMPUR, 22 Sept — Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan, bermula pagi ini bagi membincangkan usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta menangani isu utama perdagangan dan pelaburan.
Siri mesyuarat berkenaan dimulakan dengan Mesyuarat Kelima Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF Ke-5) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, dijangka membincangkan strategi bagi menangani cabaran kian memuncak dalam landskap geoekonomi global.
Sesi itu dijangka turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri serta Mari Elka Pangestu yang merupakan Utusan Khas Presiden Indonesia Prabowo Subianto bagi Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Pelbagai Hala.
Platform itu dijangka menyaksikan kehadiran Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria, mantan Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (kini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk berkongsi pandangan dalam mesyuarat itu.
Dalam sesi AGTF sebelum ini di Bogor, Indonesia, pada Ogos lepas, kalangan negara anggota telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk langkah tarif unilateral atau sepihak serta meneliti cabaran dan potensi peluang daripada dasar-dasar berkenaan.
Perbincangan itu menekankan kepentingan respons serantau yang selaras, peningkatan kecekapan dasar serta kerjasama lebih kukuh sektor awam dan swasta dalam mengurangkan risiko terhadap rantaian bekalan, aliran perdagangan dan daya saing jangka panjang ASEAN.
Selepas mesyuarat AGTF, para pegawai kanan akan bertemu bagi membuat persiapan Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) bagi perbincangan lanjut mengenai isu berkaitan pelaksanaan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED).
Antara 18 PED itu, satu yang siap sepenuhnya adalah deklarasi bersama Kerjasama Ekonomi ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) yang diterima pakai pada 27 Mei 2025 manakala selebihnya sedang dalam proses untuk disiapkan.
Sepanjang minggu ini, beberapa siri mesyuarat bersama AEM akan diadakan termasuk Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-39 dan Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan ASEAN ke-28 serta Konsultasi AEM bersama Rakan Dialog, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), majlis perniagaan lain serta Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).
Mesyuarat-mesyuarat ini memberi peluang kepada barisan menteri membincangkan isu-isu ekonomi global dan serantau, menilai pencapaian ekonomi serantau serta meneroka kaedah memperluas kerjasama ekonomi.
ASEAN merupakan organisasi serantau yang dianggotai oleh 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Tinggalkan Balasan