ADSOM 2025 Berakhir Dengan Tiga Hasil Utama, Pemusatan ASEAN Jadi Teras Kerjasama

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) 2025 berakhir dengan tiga hasil utama, antaranya pengesahan semula kesatuan dan pemusatan ASEAN yang menjadi teras kerjasama.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan hari ini, mesyuarat yang berlangsung pada Rabu lepas itu turut meluluskan 10 inisiatif penting untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dan daya tahan kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Hasil mesyuarat ini akan dibawa ke peringkat menteri pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, memastikan ASEAN sentiasa bersedia menangani cabaran keselamatan masa ini dan masa depan, serta membina dan meningkatkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan negara anggota pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi dua mesyuarat pegawai kanan pertahanan secara berturut-turut di Desaru, Johor, iaitu ADSOM 2025 dan ADSOM-Plus, yang kedua-duanya dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali.

Menurut kementerian, ADSOM 2025 bertemakan “Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran”, menegaskan tekad kolektif ASEAN untuk memelihara keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini.

“Delegasi telah meneliti agenda komprehensif termasuk inisiatif baharu yang akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Menteri-Menteri Pertahanan pada ADMM ke-19 yang dijadualkan diadakan pada Oktober ini.

“Inisiatif ini meliputi tiga bidang utama, iaitu meningkatkan kerjasama, memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi, dan menangani cabaran keselamatan yang kompleks,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan melibatkan penyertaan pegawai kanan pertahanan dari semua negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN, dengan Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.

Dalam kenyataan berasingan, kementerian memaklumkan ADSOM-Plus 2025 yang berlangsung semalam pula menghimpunkan pegawai kanan pertahanan dari semua negara anggota dan lapan negara, iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea, Rusia dan Amerika Syarikat, serta Timor-Leste sebagai pemerhati.

Menurut kenyataan itu, ADSOM-Plus menilai kemajuan kesemua tujuh Kumpulan Kerja Pakar (EWG) bagi kitaran dalam bidang keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bencana, antikeganasan, perubatan ketenteraan, operasi pengaman, tindakan terhadap periuk api secara kemanusiaan dan keselamatan siber.

Mesyuarat turut dianggap signifikan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk ADMM-Plus yang akan berlangsung pada 1 November ini.

“Perjalanan 15 tahun ADMM-Plus sejak penubuhannya sekali lagi menekankan prinsip Pemusatan ASEAN sebagai asas dan platform kerjasama pertahanan serantau,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa Malaysia juga mengulangi komitmen untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dan negara rakan, menegaskan kepentingan dialog strategik dalam melengkapkan kerjasama praktikal di bawah kerangka ADMM-Plus, selaras dengan semangat kesatuan, keterangkuman dan kemampanan demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran rantau ini.