KUALA LUMPUR, 30 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar laluan masuk bagi menyalurkan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak kerana sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara (sebahagian daripada Global Sumud Flotilla – GSF) yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Anwar sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan negara yang kini telah memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia MADANI.
“Keberanian serta ketabahan para aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Tunku Nashrul berkata pada masa sama, Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan murni tersebut.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Mereka merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas wilayah itu.
Sebelum ini, flotila itu berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.
Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Tinggalkan Balasan