MANILA, 1 Okt — Sekurang-kurangnya 26 orang maut manakala 147 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter melanda perairan wilayah Cebu di Filipina pada malam Selasa, lapor agensi berita Xinhua.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara Filipina pada Rabu memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat.
Menurut laporan itu, gempa turut menyebabkan kerosakan pada jalan raya dan jambatan.
Akhbar tempatan Sunstar Cebu menyiarkan Foto ahli keluarga di Bogo City menangis ketika melihat jenazah insan tersayang yang dibalut beg mayat berwarna hitam.
Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina pada mulanya merekodkan gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter sekitar 9.59 malam waktu tempatan Selasa.
Bagaimanapun, magnitud disemak semula kepada 6.9 dengan kedalaman lima kilometer, kira-kira 19 kilometer timur laut Bogo City.
Gegaran kuat turut dirasai di beberapa wilayah lain di Filipina tengah serta sebahagian kawasan di selatan.
Filipina terletak di sepanjang “Lingkaran Api Pasifik,” kawasan yang sering berdepan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi.
Tinggalkan Balasan