JAKARTA, 6 Okt — PT Freeport Indonesia telah menyelesaikan operasi selama 27 hari selepas menemukan kesemua tujuh pekerja yang terkorban dalam aliran lumpur dan tanah deras di lombong bawah tanah Grasberg di wilayah Papua.
Lima mangsa ditemukan pada 5 Okt di tapak Tembagapura di Mimika, manakala dua lagi ditemukan pada 20 Sept, menurut kenyataan bersama anak syarikat milik penuh syarikat perindustrian milik negara Indonesia, Mining Industry Indonesia (MIND ID), dan gergasi perlombongan Amerika Syarikat Freeport-McMoRan pada Isnin.
“Usaha mencari dan menyelamat terhalang oleh keadaan mencabar di dalam lombong bawah tanah serta kira-kira 800,000 tan lumpur dan tanah yang beralih,” kata Presiden Pengarah PT Freeport Indonesia Tony Wenas.
Mangsa terdiri daripada tiga rakyat Indonesia dan dua warga asing – masing-masing dari Afrika Selatan dan Chile.
Siasatan mengenai punca kejadian tanah runtuh itu masih dijalankan, dan PT Freeport Indonesia berikrar untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian serupa pada masa akan datang.
Insiden itu berlaku pada 8 Sept sekitar 10 malam waktu tempatan apabila aliran bahan dalam jumlah besar melanda kawasan operasi bawah tanah di tapak perlombongan yang terletak di kawasan pergunungan terpencil.

















Tinggalkan Balasan