PUTRAJAYA, 13 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi semua pihak yang tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah dan menyelamatkan negara daripada ketirisan hasil selaras dengan komitmen pentadbiran untuk memperkukuh tadbir urus serta integriti nasional.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas daripada kegiatan rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kena cari jalan tegas, keras, segera dan saya akan pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara.
“Saya sendiri mesti beritahu sokongan penuh saya dengan tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini… tapi penguatkuasaan (sahaja) tidak cukup… tindakan tegas, tetapi masih ada (rasuah dan ketirisan),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Perdana Menteri juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan pentadbiran bersih serta berintegriti sebaliknya mereka perlu bersama-sama memikul tanggungjawab itu.















Tinggalkan Balasan