ILOILO CITY, 19 Okt — Kerajaan tempatan Roxas City di Wilayah Capiz, Filipina pada Ahad mengisytiharkan darurat berikutan hujan berterusan dan banjir besar akibat ribut tropika Ramil, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Ketua Bahagian Komunikasi Roxas City Melvin Galagate berkata dalam temu bual telefon bahawa banjir besar itu menjejaskan kira-kira 830 keluarga atau 2,773 individu, mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan tiga yang lain setakat awal pagi Ahad.
Mangsa yang maut, seorang lelaki berusia 44 tahun, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital selepas berjaya diselamatkan.
“Ini kali pertama dalam sejarah Roxas City hampir semua barangay (kampung) dilanda banjir,” katanya sambil menambah bahawa walaupun air di kawasan pusat bandar telah surut, beberapa kampung rendah masih ditenggelami air.
“Sebahagian penduduk yang berpindah juga telah pulang selepas air surut,” katanya.
Datuk Bandar Ronnie Dadivas yang mengetuai operasi menyelamat pada Sabtu malam turut menggerakkan pengagihan bantuan dengan sokongan Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial, yang menghantar 10,000 pek makanan ke kawasan terjejas.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh di Barangay Culasi menimbus hampir separuh jalan di Sitio Nipa.
Sebahagian jalan di Sitio Switch, Barangay Adlawan turut runtuh, mengakibatkan sebuah rumah musnah dan empat lagi rosak.













Tinggalkan Balasan