BEIJING, 23 Okt — Mahkamah Perlembagaan Mongolia memutuskan usul parlimen yang membawa kepada pemecatan Perdana Menteri Gombojavyn Zandanshatar adalah tidak mengikut perlembagaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Prosedur yang dijalankan pada Jumaat lalu di State Great Khural, iaitu parlimen satu dewan Mongolia itu melanggar beberapa norma, lapor agensi berita rasmi Montsame pada Khamis.
Akibatnya, ahli politik daripada Parti Rakyat Mongolia (MPP) yang memerintah itu kekal memegang jawatan, setelah memegangnya sementara selepas pemecatannya.
Lebih empat bulan lalu, beliau mengambil alih jawatan itu daripada rakan separtinya, Luvsannamsrain Oyun-Erdene, yang meletak jawatan susulan dakwaan rasuah.
Pertelingkahan kuasa berlarutan dalam MPP, dengan pemimpin kanan parti saling menuduh antara satu sama lain terlibat dalam skandal yang dikenali sebagai kecurian arang batu 2022.
Ketika itu, beberapa ahli politik didakwa meraih keuntungan peribadi daripada eksport arang batu ke China melalui sebuah syarikat milik kerajaan.
Sementara itu, krisis politik yang melanda kerajaan menjejaskan reputasi Mongolia, negara yang dikelilingi oleh China dan Rusia.
Ekonomi negara kaya sumber itu bergantung kepada sektor perlombongan dan amat bergantung kepada perdagangan dengan dua negara jirannya itu.













Tinggalkan Balasan