KUALA LUMPUR, 26 Okt — Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN sebagai impian yang direalisasikan dan penegasan kukuh tentang perjalanan rakyatnya yang ditempuhi dengan ketabahan, keazaman dan harapan.
Berucap pada majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini, Gusmão berkata pencapaian itu juga mengesahkan visi ASEAN tentang sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu yang terikat dengan nilai dan aspirasi bersama serta masa depan yang dibina secara kolektif.
“Hari ini, sejarah tercipta. Timor-Leste telah diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11. Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sahaja impian yang direalisasikan, tetapi penegasan yang kuat tentang perjalanan kami, yang ditandai dengan ketabahan, keazaman dan harapan.
“Bagi ASEAN, ia adalah penerusan visi, sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu, diikat bersama oleh nilai bersama, aspirasi bersama dan masa depan yang dibina secara kolektif,” katanya.
Gusmão menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kepercayaan, galakan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan panjang bagi mencapai matlamat Timor-Leste untuk menjadi anggota blok itu.
Beliau berkata pihaknya telah memohon keanggotaan ASEAN sejak 2011 dan telah menyediakan institusi, memperbaharui dasar dan mengukuhkan kesediaan mereka berpandukan kebijaksanaan, sokongan dan kesabaran ASEAN serta rakan kongsinya
“Penyertaan Timor-Leste adalah bukti semangat rakyatnya, demokrasi muda, lahir daripada perjuangan, kini mengharungi era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam satu daripada rantau paling dinamik di dunia.
“Timor-Leste menyertai ASEAN dengan merendah diri dan rasa bangga, memeluk sepenuhnya nilai teras blok itu iaitu saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian dan perpaduan serantau,” katanya.
Beliau berkata Timor-Leste memasuki ASEAN dengan komitmen penuh terhadap piagamnya, bersedia untuk menjadi ahli yang membina, aman dan berbakti.
“Kami berjanji untuk bekerjasama dengan semua negara anggota untuk memastikan rantau kita aman, terbuka dan makmur, dan menjadi sebahagian daripada usaha membina daya tahan, memperkukuh perpaduan dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan,” katanya sambil menambah keahlian ASEAN membawa prospek yang besar dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.
Gusmão berkata pihaknya bersedia untuk belajar, berinovasi dan mengamalkan tadbir urus yang baik selain mengukuhkan institusi untuk bersama-sama menuju ke arah pembangunan mampan.
Beliau menekankan bahawa perjalanan ASEAN negara itu bukanlah penamat sebaliknya suatu permulaan lembaran baharu.
“Bersama-sama, kita akan memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045 (iaitu) ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, dengan Timor-Leste sebagai penyumbang aktif,” tambahnya.
Timor-Leste hari ini secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu kejayaan bersejarah bagi negara muda itu serta blok serantau berkenaan.
Penyertaan itu dimeterai dengan Gusmão menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan oleh pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.













Tinggalkan Balasan