KUALA LUMPUR, 26 Okt — Vietnam menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi pesat di samping membina ekonomi yang mampan dan inklusif, kata Perdana Menteri Pham Minh Chinh.
Beliau berkata negara itu memberi tumpuan kepada pengukuhan integrasi global dan meningkatkan daya tahan menerusi penyertaan yang lebih mampan dan berkesan dalam ekonomi antarabangsa.
“Kami ingin bermula dengan asas pemikiran yang betul memandangkan transformasi digital kini menjadi keperluan semasa, pilihan strategik dan keutamaan utama Vietnam.
“Pemikiran kita juga harus konsisten seiring dengan tindakan bagi mewujudkan asas yang boleh memperkukuh kesalinghubungan ekonomi Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Leader Fireside Chat yang dikendalikan Ahli Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bagi Singapura, Rachel Eng sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Acara itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung mulai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Chinh berkata di bawah kepimpinan Setiausaha Agung Vietnam’s Communist Party, To Lam, negara itu kini berusaha memperkasakan kecekapan digital dalam kalangan rakyatnya.
“Setiap individu di Vietnam perlu meningkatkan kemahiran dan memperbaharui kemahiran dalam bidang transformasi digital bagi meraih manfaat proses tersebut. Justeru itu, apabila melibatkan pemikiran dan tindakan, kita perlu membentuk asas yang teguh kerana kemajuan datang daripada minda dan keinginan untuk melakukan perubahan,” katanya.
Sementara itu, Chinh menyeru ASEAN sebagai blok serantau supaya memperkukuh tadbir urus, institusi dan pembangunan kapasiti.
“Kita perlu berkongsi pengalaman, saling mempelajari dan bergerak seiring dalam proses pembangunan ini. Usaha ini akan membentuk kekuatan kolektif ASEAN agar setiap negara dapat memanfaatkan kekuatan tersebut demi kemajuan serantau,” katanya.
Terdahulu, Chinh bersama pemimpin ASEAN lain menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak berkenaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sidang Kemuncak berprofil tinggi di bawah Kepengerusian Malaysia bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” itu menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan termasuk pemimpin dunia dan wakil daripada lebih 30 negara serta pertubuhan antarabangsa.














Tinggalkan Balasan