Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin di Beijing pada Selasa.
Xi menegaskan bahawa mengekalkan, mengukuh dan membangun hubungan China-Rusia merupakan pilihan strategik bagi kedua-dua pihak.
Beliau menekankan bahawa China dan Rusia perlu secara konsisten meluaskan pelaburan, melaksanakan kerjasama dalam bidang tradisional seperti sumber tenaga, kesalinghubungan, pertanian, dan aeroangkasa.
Ini termasuk meneroka potensi kerjasama dalam bentuk baharu seperti kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan pembangunan hijau untuk mewujudkan titik pertumbuhan kerjasama baharu.
Selain itu, kedua-dua pihak perlu merapatkan interaksi sosiobudaya sehingga dapat menggalakkan lebih banyak tokoh pelbagai sektor masyarakat kedua-dua negara menceburkan diri dalam usaha kerjasama dan persahabatan China-Rusia, katanya.
Menurut Xi, China bersedia bekerjasama dengan Rusia bagi menyelaraskan Rancangan Lima Tahun ke-15 China dengan strategi pembangunan sosioekonomi Rusia dengan lebih baik demi terus membawa kebaikan kepada rakyat kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Mishustin pula berkata pertemuan sebanyak dua kali antara pemimpin kedua-dua negara pada tahun ini telah memberi rancangan strategik untuk perkembangan hubungan Rusia-China, sekali gus mengukuhkan hubungan rakan strategik komprehensif kedua-dua negara.
Rusia juga bersedia bersama-sama dengan China untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, memajukan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, sains dan teknologi selain sumber tenaga, pertanian dan ekonomi digital.
Ujar Mishustin, pihaknya juga akan terus meningkatkan interaksi sosiobudaya, penyelarasan dan kerjasama pelbagai hala dan mendorong kerjasama kedua-dua negara agar memperoleh lebih banyak pencapaian.













Tinggalkan Balasan