UM Kekal Universiti Terbaik Negara Dalam QS World University Rankings: Sustainability 2026

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Sustainability 2026.

UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan di peringkat global, universiti itu menduduki tempat ke-166 daripada 2,001 institusi, kukuh dalam kelompok sembilan peratus teratas universiti paling mampan di dunia dan ke-16 di Asia.

“Dengan skor keseluruhan yang mengagumkan sebanyak 85.4 daripada 100, prestasi UM mencerminkan komitmen tinggi untuk menyematkan kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti,” menurut kenyataan itu.

QS World University Rankings: Sustainability menilai universiti tentang sejauh mana mereka menangani cabaran alam sekitar global dan sosial yang mendesak, berpandukan metrik selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

UM memaklumkan universiti itu juga cemerlang dalam kategori Kesan Sosial, menduduki tempat ke-10 di Asia dan ke-163 di peringkat global, didorong oleh pencapaian luar biasa dalam Pertukaran Pengetahuan (kedudukan ke-71, Skor 97.4) dan Kebolehgajian dan Peluang (kedudukan ke-99, Skor 96.5).

Dalam kategori Kesan Alam Sekitar, UM menduduki tempat ke-177 di peringkat global serta ke-35 di Asia, dan mengekalkan kedudukan terbaik di negara ini dalam Tadbir Urus, tempat ke-397 di peringkat global.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh UM terhadap kelestarian dan tanggungjawab kolektif untuk membentuk hala tuju baharu bagi kemakmuran global untuk semua, termasuk generasi masa hadapan.

“Kami akan terus memajukan agenda SDG serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui kecemerlangan penyelidikan, pendidikan inklusif dan tadbir urus yang bertanggungjawab, memastikan UM bukan sahaja cemerlang di peringkat global tetapi juga memacu impak bermakna bagi kemanusiaan dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan peningkatan berterusan UM dalam QS Sustainability Rankings mengukuhkan peranannya sebagai perintis di peringkat nasional dan serantau, memperjuangkan perubahan transformatif dan menyumbang kepada wawasan Malaysia untuk masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.