KUALA LUMPUR, 1 Dis — Sebanyak 64,618 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM257.56 juta sehingga 31 Okt lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata 196,115 peminjam daripada keluarga bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 sebulan pula mencatatkan tunggakan RM539.35 juta.
“Manakala 967,796 peminjam daripada keluarga penerima STR mencatatkan tunggakan berjumlah RM10.23 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai jumlah dan kadar bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut pendapatan bulanan peminjam secara terperinci, termasuk kategori umum B40, M40 dan T20.
Bagaimanapun, Mustapha berkata 911,788 peminjam PTPTN daripada keluarga penerima STR telah menyelesaikan bayaran balik pinjaman berjumlah RM13.89 bilion.
Beliau berkata 58,921 peminjam daripada keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 sebulan telah melangsaikan pinjaman berjumlah RM703.45 juta, manakala 136,196 peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan menyelesaikan bayaran balik berjumlah RM1.54 bilion.
Bagi peminjam yang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual, Mustapha berkata 450,522 peminjam adalah daripada keluarga penerima STR dengan jumlah pinjaman RM4.17 bilion, sementara 131,396 peminjam daripada keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 pula melibatkan pinjaman RM697.79 juta.
“Selain itu, 35,324 peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan melibatkan pinjaman RM362.36 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Tan mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan kelas pertama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Mustapha berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia meneliti semula mekanisme itu.
Beliau berkata dasar pengecualian kini hanya melibatkan graduan B40 dan M40 daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar.
“Sebelum ini, model pengecualian turut merangkumi pelajar IPTS, tetapi kali ini hanya melibatkan IPTA untuk kategori B40 dan M40. Ada kewajaran untuk menilai semula dasar IPTS, namun mekanismenya perlu diperincikan,” katanya.
















Tinggalkan Balasan