KUALA LUMPUR, 8 Dis — Industri telekomunikasi mencatat prestasi yang berdaya tahan pada 2025 walaupun beroperasi dalam persekitaran mendatar — paparan pasaran matang yang konsisten dengan trend global.
Mengikut syarikat data dan analisis GlobalData’s Telecom Forecast, pertumbuhan industri telekomunikasi yang sederhana dalam tempoh separuh pertama 2025 juga dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.
Bagaimanapun, penyelidikan GlobalData mengunjurkan pasaran telekomunikasi kekal konsisten pada RM32.3 bilion dalam 2025 dan momentum itu berterusan dengan pertumbuhan tahun ke tahun 2.2 peratus mencecah RM32.0 bilion pada 2026.
Penganalisis Prinsipal Kanan Teknologi Alfie Amir berkata syarikat telekomunikasi (telco) utama telah bertindak mempercepat usaha transformasi masing-masing dengan mengguna pakai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API).
“Ini bagi mengurangkan kemerosotan dalam perkhidmatan legasi seperti suara, mesej dan data sambil mengembangkan aliran pendapatan baharu,” katanya kepada Bernama.
Alfie berkata nilai keseluruhan perkhidmatan telekomunikasi (perkhidmatan mudah alih dan talian tetap) dijangka mencatat penurunan kecil sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun pada 2025, daripada RM31.9 bilion kepada RM31.3 bilion.
Dwirangkaian 5G
Antara pencapaian industri telekomunikasi bagi 2025 termasuk pelancaran rangkaian kedua 5G oleh U Mobile Sdn Bhd, selepas syarikat itu mendapat kelulusan kerajaan untuk melaksanakan rangkaian di bawah strategi rangkaian borong.
U Mobile telah menerima surat anugerah rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pelaksanaan rangkaian 5G pada Mac lepas.
Syarikat itu mula mengendalikan rangkaian 5G pada 14 Julai dan secara rasmi melancarkan rangkaian 5G kendiri — 5G Ultra pada Ogos 2025 dan menyasarkan liputan 80 peratus populasi Malaysia menjelang separuh kedua 2026, termasuk di kawasan awam berkapasiti tinggi.
Pada Oktober, penyedia rangkaian 5G terbaharu itu memeterai perjanjian akses borong dengan Eastel yang juga pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) baharu milik penyedia perkhidmatan telekomunikasi Anchor Communications yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026.
Kontrak lima tahun itu merupakan perjanjian akses borong 5G dan 4G pertama U Mobile dan menyaksikan syarikat berkenaan menyediakan infrastruktur 5G generasi baharu serta rangkaian 4G.
Sejajar usaha itu, U Mobile telah menaik taraf sebanyak 2,976 tapak, menyediakan 58.2 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk setakat 31 Oktober 2025 yang membuktikan fasa pelaksanaan aktif dalam pengembangan rangkaian 5G nasional.
Kemunculan 5G maju
Walaupun negara ini masih dalam proses pelaksanaan dwirangkaian 5G, YTL Communications menerusi jenama Yes, telah memperkenalkan teknologi 5G Advanced di Malaysia .
YTL Communications juga menjadi syarikat telekomunikasi pertama Malaysia yang melancarkan 5G Advanced secara komersial dengan evolusi seterusnya teknologi 5G dengan liputan di serata Lembah Klang dan disasarkan tersedia di seluruh negara menjelang Disember 2025.
Syarikat itu juga mengumumkan bahawa Yes 5G Advanced menawarkan kelajuan lebih pantas, meningkatkan liputan, ketersambungan sedia kecerdasan buatan (AI) dan ciri rangkaian yang membolehkan sambungan diutamakan serta lebih stabil.
Sementara itu, Digital Network Bhd (DNB), pengendali rangkaian 5G pertama negara, telah bekerjasama dengan Ericsson dalam usaha memastikan kelancaran teknologi 5G Advanced pada rangkaiannya.
Teknologi baharu itu yang memanfaatkan AI, meningkatkan pengalaman pengguna dengan kependaman ultra rendah serta daya pemprosesan, sekali gus menyuntik pengalaman yang bermakna.
JENDELA, kesalinghubungan dan akses internet
Di bawah Belanjawan 2026, MCMC akan melaksanakan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
Projek ini merangkumi pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan nasional dan akses internet.
Di samping itu, liputan jalur lebar akan terus dipertingkatkan menerusi projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua ke sejumlah 2,700 lokasi baharu, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang melibatkan peruntukan RM780 juta.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk telah mencecah 98.82 peratus setakat 31 Julai lepas.
Pada Mac lepas, Kongres Dunia Mudah Alih 2025 menyaksikan Malaysia mengukuhkan transformasi digital menerusi pertukaran 19 memorandum persefahaman (MoU) antara penggiat tempatan dan pemimpin teknologi.
MoU itu turut memaparkan komitmen penggiat industri bagi memajukan inovasi, khususnya teknologi AI, 5G dan telekomunikasi.
Prospek telekomunikasi bagi 2026
Menurut Alfie, pasaran telekomunikasi dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannnya dengan berkembang 2.2 peratus tahun ke tahun yang mencecah RM32.0 bilion pada 2026.
Pertumbuhan itu akan didorong oleh peralihan berterusan daripada model telekomunikasi tradisional ke arah ‘techco’ atau berteraskan keupayaan teknologi, disokong oleh pelaburan lebih ketara dalam perkhidmatan digital, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perusahaan serta kesalinghubungan generasi baharu atau seterusnya.
“AI akan kekal menjadi komponen penting dalam strategi telekomunikasi. Syarikat telco ini dijangka meningkatkan pelaburan AI masing-masing bagi meningkatkan kecekapan operasi, memacu automasi, inovasi produk selain penglibatan dan pengalaman pelanggan.
“Segmen perusahaan misalnya akan terus menjadi enjin pertumbuhan utama telco selepas menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan hasil syarikat itu serta dijangka mencatat pertumbuhan kukuh,” katanya.
GlobalData menjangkakan pasaran perkhidmatan ICT perusahaan bagi telco akan berkembang sebanyak 17.4 peratus kepada RM44.5 bilion pada 2026 dan dijangka meningkat dua kali menjelang 2029.
















Tinggalkan Balasan