SINGAPURA, 9 Jan — Singapura mengenal pasti 496 individu yang tidur di tempat terbuka dalam satu bancian jalanan satu malam yang dijalankan pada pertengahan Julai 2025, lapor Xinhua memetik laporan kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Laporan Street Count of Rough Sleepers 2025 menunjukkan angka itu menurun sebanyak 6.4 peratus berbanding 530 orang yang direkodkan dalam bancian serupa pada 2022.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga mentakrifkan “rough sleepers” sebagai individu yang tidur di ruang awam, tanpa mengira keadaan perumahan mereka, termasuk mereka yang tidak mempunyai rumah serta mereka yang mempunyai rumah tetapi menghadapi kesukaran untuk kembali ke kediaman masing-masing.
Daripada jumlah yang dikenal pasti pada 2025, 85 peratus adalah lelaki dan lebih separuh berusia melebihi 50 tahun, menurut laporan itu.
Bancian satu malam itu diikuti dengan satu tinjauan yang dijalankan dari Julai hingga Ogos 2025 bagi memahami dengan lebih mendalam profil individu yang tidur di tempat terbuka serta sebab mereka berbuat demikian.
Sebab yang paling kerap dinyatakan adalah serupa dengan dapatan pada 2022. Hampir separuh responden menyatakan pertikaian dengan ahli keluarga, rakan atau rakan serumah, manakala 29 peratus menyebut kesukaran mendapatkan atau mengekalkan tempat tinggal dan 20 peratus menyatakan masalah kewangan.
“Tidur di tempat terbuka tidak semestinya didorong oleh ketiadaan pilihan perumahan,” menurut kementerian itu, sambil memaklumkan yang 47 peratus responden melaporkan mereka mempunyai tempat untuk kembali walaupun memilih untuk tidur di luar.
Tinjauan itu juga mendapati kira-kira dua pertiga responden mempunyai pekerjaan dalam pelbagai bentuk, kebanyakannya dalam pekerjaan berpendapatan rendah. Hampir separuh pula melaporkan mempunyai keadaan yang memerlukan bantuan perubatan dan rawatan atau ketidakupayaan.













Tinggalkan Balasan