ACE Terima Geran NZ$200,000 Daripada New Zealand Bagi Sokong Peralihan Tenaga ASEAN

JAKARTA, 18 Julai — Pusat Tenaga ASEAN (ACE) telah menerima geran sebanyak NZ$200,000 (kira-kira US$119,300) daripada Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand bagi menyokong peralihan tenaga di rantau ini serta pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC).

Sumbangan itu menandakan kerjasama langsung pertama antara ACE dan New Zealand, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-New Zealand dan memperkukuh komitmen bersama ke arah pembangunan tenaga mampan di rantau ini.

Pengarah Eksekutif ACE Datuk Abdul Razib Dawood berkata geran itu merupakan satu pencapaian penting dalam kerjasama tenaga serantau dan menzahirkan penghargaan kepada New Zealand atas sokongan berterusan yang diberikan.

“Dengan sokongan New Zealand, pihak kami berbangga dapat meneruskan usaha memperkukuh kerjasama tenaga ASEAN untuk pembangunan tenaga yang mampan dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdul Razib, APAEC berfungsi sebagai rangka tindakan ASEAN dalam bidang kerjasama tenaga dan menggariskan strategi untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau, akses kepada tenaga, kemampuan serta kemampanan.

Geran itu akan menyokong tiga daripada tujuh bidang program di bawah APAEC, iaitu Grid Kuasa ASEAN (Bidang Program 1), Tenaga Boleh Diperbaharui (Bidang Program 5) dan Perancangan Tenaga dan Dasar Serantau (Bidang Program 6), kata beliau.

Duta New Zealand ke ASEAN, Joanna Jane Anderson pula berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen New Zealand terhadap peralihan tenaga ASEAN, termasuk sokongan kepada Grid Kuasa ASEAN, tenaga boleh diperbaharui serta kerjasama berterusan dengan pusat-pusat ASEAN yang lain.

Sumbangan itu telah dibincangkan semasa pertemuan Anderson dengan Abdul Razib di ibu pejabat ACE di Jakarta pada 11 Julai lepas.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda