AirAsia Raih Tiga Kemenangan Di World Travel Awards Grand Final 2025

KUALA LUMPUR, 7 Dis — AirAsia meraih tiga kemenangan iaitu sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia, Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia dan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia pada World Travel Awards (WTA) Grand Final 2025 di Bahrain.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia menjelaskan pengiktirafan itu memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama paling berpengaruh dalam industri penerbangan tambang rendah di peringkat global.

AirAsia memaklumkan pengiktirafan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia itu menandakan tahun ke-13 berturut-turut pencapaian di peringkat global manakala anak kapal diiktiraf sebagai Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia buat kali kesembilan.

AirAsia X (AAX) turut mengekalkan kemenangan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Jarak Jauh Terkemuka Dunia untuk tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam mentakrifkan semula perjalanan jarak jauh mampu milik, jelas AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata anugerah yang diraih itu merupakan bukti yang kukuh terhadap dedikasi pihaknya dalam mengekalkan kualiti tinggi AirAsia X dan kepercayaan lebih 50 juta pengembara sejak 2007. 

Sementara itu, Pengasas WTA Graham E-Cooke berkata ketiga-tiga anugerah itu membuktikan komitmen berterusan AirAsia dalam menawarkan pengalaman perjalanan bertaraf dunia yang lancar.

“Dedikasi dan profesionalisme pasukan AirAsia terus menetapkan penanda aras baharu dalam industri penerbangan global,” katanya dalam kenyataan yang sama.

WTA, sejak ditubuhkan pada 1993, diiktiraf sebagai antara anugerah paling berprestij, komprehensif dan utama bagi kecemerlangan kalangan syarikat merentas sektor perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.