KUALA LUMPUR, 26 Mac — Seiring dengan langkah Malaysia melaksanakan rangkaian 5G untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan tahap kesiapsiagaan, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) meningkatkan usaha pembangunan bakat bagi menyokong pelaksanaan yang lancar dalam era digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata syarikat telah mewujudkan 53 Akademi ICT di universiti awam dan swasta di Malaysia untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal dalam teknologi 5G, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kumpulan itu telah melatih lebih 54,000 rakyat Malaysia dalam kemahiran digital, melebihi sasaran sebanyak 50,000 pada 2025 melalui platform di bawah Huawei ASEAN Academy.
Antara inisiatif tersebut ialah Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dilancarkan pada 2024 untuk melahirkan 300 peneraju digital menjelang 2026.
Sun berkata program itu merupakan respons langsung kepada seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 anjuran Huawei Malaysia untuk melengkapkan peneraju dengan kelebihan tambahan untuk memacu organisasi masing-masing ke arah kecemerlangan digital.
“Peserta termasuklah pemimpin kanan daripada kerajaan, ahli akademik dan industri. Kohort pertama (50 peserta) telah menamatkan program selama lapan bulan termasuk lawatan sambil belajar ke Shenzhen pada Oktober 2024.
“Kohort kedua (60 peserta) telah menamatkan program itu pada Jun 2025 manakala kohort ketiga (66 peserta) pada Oktober 2025,” katanya kepada Bernama.
Sun berkata syarikat juga melancarkan Program Bakat AI Huawei Malaysia, menyasarkan untuk melahirkan 30,000 bakat AI Malaysia, yang terdiri daripada pelajar, pegawai kerajaan, pemimpin industri, badan pemikir, persatuan dan lain-lain di bawah inisiatif ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata kumpulan itu merancang untuk membangunkan 200 rakan AI tempatan melalui kerjasama, pemindahan pengetahuan dan kerjasama penyelesaian Cloud dan AI dengan syarikat AI terkemuka dari China.
Sun berkata Pusat Pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) JTM-Huawei yang baru dilancarkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur, menyasarkan untuk melengkapkan jurulatih dan graduan TVET dengan latihan praktikal dalam teknologi ICT, dengan seramai 1,500 pelatih telah mendapat latihan setakat ini.
“Seiring dengan persaingan yang meningkat, Huawei Malaysia akan terus melabur secara bertanggungjawab, menjalin kerjasama dan berkembang bersama Malaysia,” katanya.
CSR Huawei Malaysia: Menghubungkan Komuniti, Melindungi Hutan Hujan
Dalam menyokong aspirasi negara ke arah era pendigitalan, Huawei Malaysia terus menghubungkan elemen yang berkaitan dan memperkasakan komuniti melalui penggunaan teknologi untuk impak sosial yang positif.
Sun berkata antara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka – Rainforest Guardian Research Project di Sarawak, yang dijalankan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Hutan Sarawak untuk membantu melindungi hutan hujan Sarawak.
Beliau berkata projek itu melibatkan penggunaan peranti berkuasa solar yang dilengkapi dengan mikrofon dan antena yang mengumpul data bunyi dan kemudiannya dihantar melalui rangkaian tanpa wayar ke platform awan untuk dianalisis menggunakan analitik berasaskan AI.
“Apabila corak bunyi menunjukkan kemungkinan ancaman seperti gergaji, lori atau tembakan dikesan (melalui AI), satu amaran akan dijana memaparkan lokasi Rainforest Guardian berkenaan dalam aplikasi, membolehkan renjer tempatan bertindak segera dan mengesan punca amaran tersebut.
“Peranti ini telah memberikan 271 amaran dalam tempoh tiga tahun lepas, menunjukkan teknologi dapat memainkan peranan penting dalam melindungi biodiversiti Malaysia,” katanya.
Sun berkata Huawei Malaysia turut melancarkan inisiatif CSR mereka di Pahang pada 2022, Huawei RuralStar Pro, bersama Celcom Axiata Bhd untuk mengatasi cabaran teknikal dan menghubungkan kawasan terpencil yang kekurangan akses kepada infrastruktur komunikasi yang baik.
Huawei RuralStar Pro menggunakan teknologi tanpa wayar yang tidak memerlukan garis pandang untuk berhubung dengan menara pemancar telekomunikasi berhampiran, menjadikannya menjimatkan kos dan sesuai untuk persekitaran luar bandar.
Sun berkata Huawei RuralStar Pro memberi tumpuan kepada penyediaan sambungan 4G LTE di kawasan luar bandar, setanding dengan yang terdapat di bandar dan hanya memerlukan dua panel solar untuk membekalkan tenaga kepada keseluruhan sistem operasi, menyediakan perkhidmatan panggilan suara dan internet.
“Sama ada melindungi hutan hujan Malaysia, memperkasakan bakat digital atau menyokong matlamat kesalinghubungan negara, Huawei Malaysia komited untuk mewujudkan nilai jangka panjang untuk rakyat, komuniti dan alam sekitar.
“Seiring dengan teknologi yang terus membentuk masa depan, kami tetap fokus untuk memastikan kemajuan yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan untuk semua,” katanya.

















Tinggalkan Balasan