Boeing Hantar 160 Pesawat Komersial Pada Suku Keempat

WASHINGTON, 14 Jan — Gergasi penerbangan Amerika Syarikat (AS), Boeing, mengumumkan pada Selasa  penghantaran sebanyak 160 pesawat komersial pada suku keempat 2025, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 600 pesawat dihantar sepanjang tahun lepas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagi perniagaan pesawat komersialnya, Boeing menghantar 117 jet model 737, 10 buah model 767, enam model 777 dan 27 pesawat 787 Dreamliner dalam tempoh suku berkenaan.

Dalam bahagian pertahanan, angkasa dan keselamatan pula, syarikat itu menghantar lima helikopter baharu AH-64 Apache dan 14 unit Apache yang dikilang semula pada suku keempat.

Turut dihantar ialah dua helikopter baharu CH-47 Chinook dan dua unit Chinook yang telah diperbaharui.

Penghantaran pertahanan suku tahunan lain termasuk dua pesawat pejuang F-15, dua jet F/A-18, lima pesawat tangki mengisi minyak di udara KC-46, tiga helikopter MH-139 dan dua pesawat rondaan maritim P-8.

Menurut syarikat itu, program pertahanan, angkasa dan keselamatan Boeing menyumbang kepada 37 penghantaran pada suku keempat dan 131 penghantaran sepanjang tahun.