Bursa Malaysia Rendah Pada Sesi Dagangan Awal

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Bursa Malaysia susut sedikit pada sesi dagangan awal Selasa susulan sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur masih ketara walaupun prestasi semalaman Wall Street meningkat.

Selain itu, pelabur juga sedang menilai semula risiko geopolitik global yang masih berlarutan, kata penganalisis.

Pada 9.08 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 3.01 mata atau 0.2 peratus kepada 1,513.60 berbanding penutupan Isnin pada 1,516.61.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.36 mata lebih rendah pada 1,514.25.

Pasaran secara menyeluruh bagaimanapun adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 275 berbanding 100 manakala 200 kaunter tidak berubah, 1,863 tidak diniagakan dan 41 kaunter digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 191.36 juta saham yang bernilai RM128.17 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih tinggi selepas peniaga menganggap tindakan balas Iran terhadap Amerika Syarikat semalam sebagai bersifat terkawal.

Selain itu, Presiden Donald Trump mengumumkan garis masa gencatan senjata antara Israel dan Iran yang berpotensi meredakan perang susulan tindakan balas Iran yang beliau anggap sebagai ‘lemah’.

Di peringkat domestik, Thong berkata FBM KLCI mencatat lonjakan semula mendadak yang kukuh selepas susut pada awal urus niaga semalam, terutamanya didorong sokongan belian institusi tempatan.

“Pada hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,510 hingga 1,530,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM9.68, Public Bank susut 13 sen kepada RM4.29, CIMB turun satu sen kepada RM6.79, IHH Healthcare rugi dua sen kepada RM6.83 manakala Tenaga Nasional kekal tidak berubah pada RM14.30.

Bagi saham aktif, Cuckoo yang baru disenaraikan di Pasaran Utama, kekal tidak berubah pada RM1.08, NexG naik setengah sen kepada 35.5 sen, Velesto Energy susut setengah sen kepada 18 sen, Hibiscus Petroleum turun 16 sen kepada RM1.67 dan Bumi Armada berkurangan 1.5 sen kepada 46.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 4.92 mata kepada 11,284.26 manakala Indeks FBMT 100 turun 8.52 mata kepada 11,075.38.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 33.44 mata kepada 11,245.35, Indeks FBM 70 naik 47.01 mata kepada 16,119.10, dan Indeks FBM ACE melonjak 25.42 mata kepada 4,403.27.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 97.38 mata kepada 17,575.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 148.01, Indeks Perladangan susut 2.40 mata kepada 7,228.15, dan Indeks Tenaga susut 20.39 mata kepada 725.56.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda