Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan jualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang terus menjejaskan sentimen pasaran. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.68 mata kepada 1,735.86 daripada 1,739.54 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.12 mata kepada 1,740.66 dan bergerak antara 1,733.06 dan 1,741.51 sepanjang sesi dagangan pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 444 berbanding 357 manakala 526 kaunter tidak berubah, 1,410 kekal tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.17 bilion saham bernilai RM966.25 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan, indeks petunjuk pasaran dijangka terus stabil, dengan paras halangan 1,754 hingga 1,771 hari ini.

Katanya ini didorong oleh sentimen berhati-hati menjelang cuti Tahun Baharu Cina dan musim pelaporan keputusan kewangan pada Februari.

“Bagaimanapun, kami melihat sebarang penurunan sebagai sementara dan membina, mencerminkan risiko yang berkurangan dan pelarasan portfolio berbanding asas yang lemah,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 12 sen kepada RM11.94, CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM8.39, IHH Healthcare menurun 10 sen kepada RM8.73 manakala Public Bank meningkat satu sen kepada RM5.05 dan Tenaga Nasional menambah 18 sen kepada RM14.14.

Dalam senarai paling aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada satu sen, Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 82.5 sen manakala 99 Speed Mart berkurangan 25 sen kepada RM3.70. Tanco naik tiga sen kepada RM1.44 dan Mega Fortris meningkat 3.5 sen kepada 92 sen.

Selain Tenaga Nasional, kaunter paling untung lain ialah Nestle, meningkat RM1 kepada RM110, Malaysian Pacific Industries naik 40 sen kepada RM30.18, MNRB menambah 27 sen kepada RM2.73, Petronas Gas menokok 24 sen kepada RM18.46 dan IOI Properties naik 15 sen kepada RM3.46.

Selain 99 Speed Mart, kaunter paling rugi ialah United Plantations merosot 38 sen kepada RM29.80, Batu Kawan berkurangan 22 sen kepada RM19.52, Allianz Malaysia menurun 20 sen kepada RM22.30 dan Alliance Bank menyusut 18 sen kepada RM5.11.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 21.04 mata kepada 12,543.77, Indeks FBM Emas berkurangan 17.41 mata kepada 12,720.79, Indeks FBM Mid 70 menurun 4.30 mata kepada 17,565.37 manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 24.30 mata kepada 12,246.31 dan Indeks FBM ACE menambah 0.13 mata kepada 4,741.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 143.93 mata kepada 21,379.95 dan Indeks Perladangan berkurangan 29.69 mata kepada 8,347.24 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.49 mata kepada 176.57 dan Indeks Tenaga naik 3.16 mata kepada 754.26.