Canton Fair ke-137 Labuh Tirai

Ekspo Import dan Eksport China atau lebih dikenali sebagai “Canton Fair” edisi ke-137 yang diadakan secara fizikal melabuhkan tirainya di Guangzhou China pada Isnin, setelah menyaksikan munculnya sejumlah rekod baharu seperti bilangan pembeli dari luar negara dan keseluruhan nilai kontrak eksport yang termeterai, yang biasanya dilihat sebagai tanda penunjuk bagi kemakmuran ekonomi.

Sehingga 4 Mei, jumlah pengunjung yang menyertai ekspo itu meningkat 17.3 peratus berbanding edisi ke-135 pada musim bunga tahun lepas, dengan mencecah 288,900 orang melibatkan 219 negara dan wilayah, manakala keseluruhan nilai kontrak eksport yang termeterai pula naik 3 peratus tahun ke tahun kepada USD25.44 bilion (RM107.67 bilion).

Menurut perangkaan dari Pusat Perdagangan Luar China, iaitu penganjur Canton Fair, pasaran baharu tetap merupakan penyumbang sumber terbesar bagi ekspo kali ini, misalnya jumlah pembeli dari negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) meningkat sebanyak 17.4 peratus tahun ke tahun kepada 187,500 orang, mewakili 64.9 peratus keseluruhan. 

Jumlah pembeli dari negara-negara BRICS meningkat 24.1 peratus tahun ke tahun kepada 72,400 orang, sedangkan pembeli dari negara anggota RCEP pula meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun kepada 64,800 orang.

Pada masa yang sama, terdapat 51,900 pembeli dari Eropah dan Amerika Syarikat yang menyaksikan peningkatan sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun.

Lebih 60 peratus kontrak yang termeterai melibatkan negara-negara yang relevan dalam pelaksanaan BRI, dan perdagangan dalam pasaran tradisional kekal stabil.

Jumlah produk yang dipamerkan dalam ekspo kali ini melebihi 4.55 juta, termasuk 1.02 juta produk baharu, 880,000 produk hijau dan rendah karbon, dan 320,000 produk pintar.

Canton Fair yang dilancarkan pada tahun 1957 diadakan sebanyak dua kali setiap tahun, iaitu pada musim bunga dan musim luruh. 

Seterusnya, Canton Fair ke-138 yang terdiri daripada tiga fasa akan diadakan di Guangzhou dari 15 Oktober hingga 4 November tahun 2025.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda