Capital A Terima Pengesahan Mahkamah Tinggi Bagi Pengurangan Modal RM2.74 Bilion

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa cadangan Capital A Bhd untuk mengurangkan modal saham terbitannya sebanyak RM2.74 bilion membuka laluan kepada  rancangan untuk mengagihkan saham AirAsia X Bhd (AAX) kepada pemegang saham Capital A yang layak.

Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini berkata langkah berkenaan adalah antara langkah akhir dalam proses penyusunan semulanya selepas berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting baru-baru ini termasuk perjanjian tidak bersyarat dan pengumuman kelayakan dividen bukan tunai.

“Capital A kekal di landasan yang betul untuk menyelesaikan penjualan segmen penerbangan dan bahagian pengedaran pada Disember 2025. Semua tindakan bagi fasa akhir penyusunan semula Capital A yang dirancang berjalan lancar.

“Dengan kelulusan ini, langkah seterusnya adalah mengagihkan saham AAX kepada pemegang saham Capital A, mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya berkaitan modal menurut Pelan Penstrukturan Semula sebanyak RM5.51 bilion dan kemudiannya memohon untuk membatalkan status Nota Amalan 17 (PN17),” menurut Capital A.

Sebaik sahaja proses ini selesai, semua syarikat penerbangan AirAsia akan beroperasi di bawah platform syarikat penerbangan tunggal manakala Capital A akan memulakan fasa selanjutnya sebagai kumpulan perniagaan berfokus dan tidak terlalu bergantung kepada aset besar, dengan tumpuan kepada lima perniagaan pertumbuhan tinggi iaitu Asia Digital Engineering, Teleport, AirAsia MOVE, Santan dan AirAsia Next.