China, AS Capai Konsensus Mengenai Perdagangan, TikTok

Delegasi China dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan komunikasi yang terus terang, mendalam dan konstruktif berdasarkan saling hormat dan sama rata mengenai isu ekonomi dan perdagangan yang menjadi perhatian bersama, termasuk TikTok pada 14 hingga 15 September.

Kedua-dua pihak menyedari bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan yang stabil antara China dan AS bukan sahaja signifikan bagi kedua-dua negara, malah juga amat penting terhadap kestabilan dan pembangunan ekonomi global.

Demikian kata wakil perundingan perdagangan antarabangsa merangkap Naib Menteri Perdagangan China Li Chenggang dalam sidang taklimat yang diadakan di Madrid, pada Isnin.

Beliau berkata, China dan AS telah mencapai konsensus rangka asas mengenai cara menyelesaikan isu TikTok melalui kerjasama, pengurangan halangan pelaburan, dan promosi kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Mengenai isu TikTok, Li menegaskan bahawa China secara konsisten menentang langkah mempolitikkan, memperalatkan dan mempersenjatakan isu sains dan teknologi serta ekonomi dan perdagangan.

Dalam sidang taklimat berkenaan, Naib Ketua Pengarah Pentadbiran Ruang Siber Negara China, Wang Jingtao berkata, kedua-dua pihak China dan AS telah mencapai konsensus asas berdasarkan keinginan perusahaan dan peraturan pasaran, mengenai penyelesaian isu TikTok melalui cara-cara seperti operasi amanah data pengguna TikTok di AS dan urus niaga keselamatan kandungan, serta lesen hak penggunaan harta intelek seperti algoritma. 

Kerajaan China akan menyemak dan mengesahkan hal-hal berkaitan TikTok seperti eksport teknologi dan lesen hak penggunaan harta intelektual dan sebagainya.