KUALA LUMPUR, 30 Sept — Perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah US$131.84 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sekali gus mencatat momentum kukuh pada permulaan sambutan ‘50 Tahun Keemasan’ hubungan kedua-dua negara.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing memetik angka itu sebagai bukti kerjasama yang semakin rancak pada satu majlis resepsi di Kuala Lumpur pada Isnin, sempena ulang tahun ke-76 penubuhan China.
Beliau turut memaklumkan ketibaan pelancong dari tanah besar China mencapai rekod bersejarah iaitu 2.78 juta orang dalam tujuh bulan pertama tahun ini.
“Ketika lembaran baharu bermula, kita terus melakar kisah kegemilangan dan kemakmuran bersama.
“Marilah kita perkukuh persahabatan tradisional China-Malaysia, mempererat komunikasi strategik, mendalami kerjasama praktikal dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Bersama-sama, marilah kita memberi sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Menurut Ouyang, siri lawatan berprofil tinggi oleh pemimpin kedua-dua negara telah menyuntik momentum kuat kepada pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.
Pada April lalu, Presiden Xi Jinping mengadakan lawatan bersejarah ke Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju membina komuniti strategik bertaraf tinggi China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersama, sekali gus melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu.
Selain itu, Perdana Menteri Li Qiang turut berkunjung ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada Mei.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkunjung ke China untuk menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus 2025 serta perarakan Hari Kemenangan sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing, awal bulan ini.
Ouyang berkata, perjalanan 76 tahun China telah berkembang daripada hidup secara aman, kepada integrasi global yang lebih mendalam, dan kini menuju pembinaan masa depan bersama.
Katanya, dasar luar China juga telah berkembang daripada mempertahankan kemerdekaan, kepada memupuk kestabilan, seterusnya memajukan visi komuniti berkongsi masa depan untuk umat manusia.
China bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa melalui inisiatif seperti Jalur dan Laluan, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global yang membentuk konsensus luas serta sinergi kukuh demi perpaduan, pembangunan, keselamatan dan kemajuan tamadun.
“China akan terus berkongsi peluang pembangunan dengan negara-negara seluruh dunia, termasuk Malaysia, sambil bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah dan makmur,” katanya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebagai tetamu kehormat, menyertai Ouyang untuk meraikan kejayaan kerajaan masing-masing dan hubungan mesra antara kedua-dua negara.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Majlis itu turut dihadiri oleh diplomat asing ke Malaysia, pemimpin politik, anggota diaspora, wakil syarikat China serta pelajar antarabangsa di Malaysia.
Pada 2024, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, menandakan persahabatan istimewa antara kedua-dua negara
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009.
Jumlah perdagangan kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).
Tinggalkan Balasan