KUALA LUMPUR, 25 Jun — Trovon Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Destini Bhd, telah memeterai dua perjanjian bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih komponen kereta api elektrik bagi 58 set tren yang beroperasi untuk Laluan 1 (Sungai Buloh-Kajang) Transit Aliran Massa (MRT).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Destini berkata Trovon Malaysia telah memeterai dua perjanjian sebagai subkontraktor bagi pembekalan alat ganti dengan SMH Rail Sdn Bhd pada 3 Jun 2025.
Syarikat itu akan melakukan kerja-kerja baik pulih bagi sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) serta peralatan angkup brek yang dipasang pada 58 set platform Inspiro.
Nilai kontrak berkenaan tidak didedahkan dalam kenyataan itu.
Kerja-kerja berkenaan dijadual memakan masa selama 20 bulan, bermula pada Jun 2025 hingga Januari 2027.
Destini berkata perjanjian itu memaparkan peluasan ketara peranan Trovon dalam sektor penyenggaraan rel dan baik pulih komponen di peringkat serantau.
“Trovon telah memperoleh dua skop kerja serentak bersama SMH Rail, merangkumi kerja baik pulih sistem HVAC dan angkup brek bagi Laluan MRT 1 (Sungai Buloh–Kajang).
“Ini mencerminkan keyakinan SMH terhadap keupayaan Trovon dalam melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf komponen berkaitan kenderaan beroda digunakan kereta api.
“Penglibatan ini hanya mengukuhkan lagi kedudukan Trovon sebagai penyelenggara subsistem berkemahiran teknikal dan tempatan,” katanya.
Destini juga menyifatkan projek itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Industri Sokongan Rel Malaysia 2030 yang menggalakkan penggunaan kandungan tempatan lebih ketara selain mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) asing.
“Pelaksanaan skop itu secara tempatan dengan keupayaan kejuruteraan dan pengurusan projek Malaysia, membolehkan Trovon memberi sumbangan bermakna kepada matlamat negara untuk membina ekosistem industri rel yang lestari dan berdikari,” katanya.
Destini menjangkakan perjanjian itu memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 serta bagi tempoh sepanjang pelaksanaan projek.
Tinggalkan Balasan