KUALA LUMPUR, 25 Feb — Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan bagi suku kedua 2026 disokong prestasi Indeks Pelopor (IP) Disember 2025, yang mencatatkan marginal 0.1 peratus kepada 114.0 mata berbanding 113.9 mata dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi itu diperkukuh oleh peningkatan dalam penawaran wang benar M1 (7.3 peratus) dan import benar semikonduktor (4.8 peratus), mencerminkan kecairan kewangan domestik yang stabil serta permintaan berterusan terhadap komponen elektronik.
“Dari perspektif bulanan, IP turut mencatat peningkatan 0.5 peratus, disokong oleh pertumbuhan penawaran wang benar M1 (0.5 peratus) dan jangkaan nilai jualan dalam sektor pembuatan (0.4 peratus),” katanya.
DOSM berkata berdasarkan pemerhatian terhadap trend jangka panjang terlicin pada Disember 2025, IP kekal di bawah paras 100 mata.
Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan, disokong oleh perkembangan ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dijangka merangsang perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi lain secara tidak langsung.
Dalam menilai keadaan ekonomi semasa, DOSM berkata Indeks Serentak (IS) mengekalkan momentum positifnya dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan 2.1 peratus kepada 129.3 mata berbanding 126.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Prestasi ini dipacu oleh peningkatan yang konsisten merentasi semua komponen dengan Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 9.6 peratus sebagai penyumbang terbesar.
“Namun begitu, prestasi bulanan IS mencatatkan marginal negatif 0.02 peratus, disebabkan oleh penyusutan kapasiti penggunaan dalam pembuatan dan indeks kuantiti perdagangan runcit, yang kedua-duanya mencatatkan negatif 0.1 peratus,” kata jabatan itu.

















Tinggalkan Balasan