KUALA LUMPUR, 17 Jun — Kedudukan ekonomi Malaysia kekal stabil meskipun wujud ketidaktentuan perdagangan global, dengan optimisme terhadap rundingan perdagangan yang sedang diadakan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Beliau berkata walaupun kesan jangka masa pendek daripada perang perdagangan dan rundingan perdagangan itu mungkin tidak ketara namun, perubahan jangka masa panjang dalam dinamik perdagangan boleh mempengaruhi pergerakan mata wang.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut pagi ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah berada di Washington minggu ini untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat, jadi kita perlu menyaksikan perkembangan ini.
“Saya berpandangan ada sebab (yang baik) untuk kita tidak terlalu pesimis mengenai hasil daripada dinamik perdagangan, terutama rundingan perdagangan itu,” katanya semasa sesi panel bagi membincangkan tajuk “The Drivers of the Ringgit” pada Simposium Sasana 2025 di sini, hari ini.
Sesi panel yang dimudah cara oleh Ketua Asia Tenggara dan Pengarah Urusan GP Bullhound Shahril Hamdan itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong dan Perbendaharaan Korporat Kumpulan CIMB Group Chu Kok Wei dan Ahli Ekonomi HSBC, Yun Liu sebagai ahli panel.
Adnan Zaylani berkata perniagaan tempatan kekal positif terhadap hasil perubahan dinamik perdagangan dan menjangkakan peluang baharu akan muncul daripada senario itu.
Beliau berkata majoriti perniagaan di Malaysia tidak terjejas secara signifikan ekoran perang perdagangan, dan sebahagiannya sedang mencari peluang baharu yang mungkin wujud susulan perubahan tersebut.
“Kami bekerjasama dengan perniagaan di seluruh negara melalui pejabat wilayah di Pantai Timur, negeri-negeri utara, selatan, serta di Sabah dan Sarawak.
“Jadi, kami berpendapat hasil rundingan perdagangan ini mungkin tidak begitu teruk bagi Malaysia, dan kita sewajarnya dapat mengekalkan pertumbuhan stabil yang agak baik serta diharapkan munculnya peluang baharu,” katanya.
Mengenai ringgit, Adnan Zaylani berkata BNM akan terus bekerjasama dengan pasaran melalui Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) serta entiti korporat untuk memastikan keputusan intervensi dapat menstabilkan nilai ringgit.
“Kami melakukan intervensi untuk menyediakan kecairan kepada pasaran dan turut bekerjasama dengan pihak lain bagi memahami aliran mereka, dan cara untuk kami membantu menstabilkan pasaran mata wang.
“Inilah yang telah kami lakukan sejak dua tahun lepas, dan kami akan teruskan kerana pasaran mata wang masih sangat tidak menentu dan masih agak mencabar,” katanya.
Adnan Zaylani juga berkata BNM kini berhasrat untuk memperluas skop Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) melangkaui sektor perdagangan, termasuk pasaran sekuriti dan ekuiti, susulan kejayaan penggunaan mata wang tempatan dalam LCSF bagi kalangan negara ASEAN.
BNM telah memperkenalkan LCSF untuk perniagaan bagi membolehkan transaksi, invois dan penyelesaian dilakukan dalam mata wang baht Thailand, rupiah Indonesia dan yuan China.
“Kami cukup gembira dengan kemajuan ini. Hari ini, sebanyak 20 hingga 27 peratus perdagangan Malaysia dengan China diselesaikan sama ada dalam yuan atau ringgit.
“Malah bagi baht Thailand dan rupiah Indonesia, yang dimulakan kemudian, sebanyak 16 hingga 17 peratus daripada perdagangan dengan negara-negara ini diselesaikan dalam mata wang tempatan itu,” katanya.
Tinggalkan Balasan