Eksport Singapura Meningkat 9.3 Peratus Pada Januari Dipacu Permintaan Berkaitan AI

SINGAPURA, 16 Feb — Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura meningkat 9.3 peratus pada Januari 2026, dipacu permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI), menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Dalam kenyataan hari ini, EnterpriseSG memaklumkan eksport elektronik meningkat 56.1 peratus bulan lepas, didorong terutamanya oleh litar bersepadu serta produk media cakera, manakala eksport bukan elektronik menyusut 3.0 peratus.

“NODX ke China, Hong Kong dan Kesatuan Eropah meningkat pada Januari 2026, manakala NODX ke Amerika Syarikat dan Indonesia menurun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, eksport semula bukan minyak (NORX) republik itu melonjak 51.4 peratus pada Januari, dipacu terutamanya oleh NORX elektronik yang berkembang 69.4 peratus. NORX bukan elektronik pula meningkat 24.2 peratus bulan lepas

“Jumlah perdagangan barangan keseluruhan berkembang 23.8 peratus pada Januari 2026, meneruskan kenaikan 12.3 peratus pada bulan sebelumnya dengan kedua-dua eksport dan import mencatatkan pertumbuhan,” menurut agensi itu.