Enam Produk Usahawan PKNS Tembusi Pasaran Jepun

SHAH ALAM, 9 Jun — Enam usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Program Pecutan Eksport (EAP) melakar sejarah apabila produk mereka secara rasmi berjaya menembusi pasaran Jepun.

Menerusi kerjasama dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp), produk tempatan itu bukan sahaja berpeluang menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025, malah turut dijual di rangkaian pasar raya utama di negara Matahari Terbit itu seperti Don Quijote serta saluran HOREKA (hotel, restoran dan katering). 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata kejayaan itu adalah lambang pencapaian kolektif PKNS, SME Corp dan usahawan tempatan merealisasikan agenda eksport produk bumiputera ke pasaran premium seperti Jepun.

“Pencapaian hari ini adalah kemuncak kepada perjalanan eksport yang dirintis sejak tahun 2024, hasil kerjasama strategik antara PKNS dan SME Corp melalui pelaksanaan EAP.

“Program ini dirangka khusus bagi memberi tumpuan kepada pembangunan intensif 30 usahawan berpotensi tinggi yang digilap daripada Program Market Accelerations for Export & Retail Products(MEXPRO),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Produk Usahawan EAP 2025 di Galeria SA Sentral di sini hari ini.

Mahmud berkata usahawan terbabit dibimbing secara menyeluruh merangkumi aspek pensijilan, penambahbaikan produk serta strategi pemasaran bersesuaian untuk menembusi pasaran Jepun yang terkenal dengan piawaian ketat dan keperluan pengguna yang sofistikated.

Beliau berkata enam syarikat terbabit berjaya melepasi pelbagai penilaian dan kelayakan yang ditetapkan daripada 30 syarikat disenarai pendek, sekali gus membolehkan usahawan terpilih menembusi rangkaian pasar raya, kedai khusus serta platform perniagaan lain di seluruh Jepun.

“Pemilihan produk enam usahawan EAP ini bukan bermaksud produk peserta lain kurang berkualiti tetapi hasil saringan menunjukkan ada produk yang memerlukan sedikit penambahbaikan dari segi pematuhan piawaian atau kesesuaian pasaran,” katanya.

Mahmud berkata kesemua usahawan itu berada di Jepun bagi menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025 bermula 14 Mei hingga 13 Oktober depan, dengan produk mereka akan dipasarkan secara rasmi sepanjang tempoh ekspo berlangsung selain diedarkan ke beberapa pasar raya seperti Don Quijote.

Terdahulu, Mahmud menyempurnakan upacara simbolik pelepasan produk usahawan EAP 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy.

Antara syarikat yang terpilih adalah Nims Adeliciousz Sdn Bhd, Nourish Nova Sdn Bhd, TFN Brownies Sdn Bhd, The Skinny Bakers Sdn Bhd, MFaez Food Sdn Bhd dan Aducktive Sdn Bhd.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda