Filipina Berazam Perkukuh Legasi Kepemimpinan ASEAN Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Filipina menyatakan komitmennya untuk menyokong kepengerusian ASEAN oleh Malaysia ketika ini, dalam persediaannya untuk memimpin blok serantau pada 2026, khususnya dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan memastikan pendirian bersama terhadap isu-isu global.

Duta Besar Filipina ke Malaysia Maria Angela A. Ponce berkata negaranya mengiktiraf kepentingan untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memperkukuh inisiatif sedia ada, sekali gus memastikan kesinambungan ketika Filipina bersiap sedia untuk memegang kepengerusian ASEAN.

“Kepengerusian Malaysia sangat kukuh, dan adalah penting untuk bekerjasama rapat bagi meneruskan inisiatif yang telah dilaksanakan supaya kita dapat terus maju dalam persiapan kepengerusian kita sendiri,” katanya kepada Bernama semasa sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Filipina ke-127 baru-baru ini.

Ponce berkata ketika ini pihaknya sedang membangunkan tema dan hala tuju bagi kepengerusian Filipina dalam ASEAN, yang akan menjadi panduan kepada fokus mesyuarat serta inisiatif sepanjang tempoh kepimpinan tahun hadapan.

“Kita tidak boleh bekerja tanpa mengambil kira kerjasama sedia ada. Apa yang ingin kita lakukan ialah membina atas pencapaian dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Malaysia semasa kepengerusiannya.

“Jika kita bermula tanpa konteks dan kesinambungan itu, adalah sukar untuk mencapai banyak perkara dalam tempoh setahun sahaja,” katanya.

Malaysia memegang kepengerusian ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, memberi tumpuan kepada komitmen terhadap keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran dalam kerangka yang inklusif dan mampan.

Filipina berhasrat untuk menyelaraskan persiapannya dengan usaha-usaha yang sedang dijalankan ini bagi memastikan momentum dapat dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, Ponce berkata Filipina akan mengambil bahagian secara aktif dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pascamesyuarat Menteri yang dijadualkan berlangsung pada Julai.

“Kami menantikan peluang untuk menyumbang secara aktif dalam perbincangan yang dijadualkan pada dua minggu pertama bulan Julai, kerana mesyuarat ini amat penting memandangkan ia bukan sahaja melibatkan negara-negara anggota ASEAN tetapi juga rakan dialognya,” katanya.

Ponce berkata penglibatan aktif Filipina dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang adalah bersandarkan visi serantau yang lebih luas daripada Presiden Ferdinand R. Marcos Jr yang secara konsisten menyeru kepada ASEAN yang bersatu demi keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda